Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan, notifikasi daripada aplikasi MySejahtera melibatkan lokasi kes COVID-19 di kawasan Subang Jaya yang tular di media sosial adalah tidak tepat.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes positif COVID-19 tersebut telah dilaporkan pada 10 Ogos 2020 dan merupakan seorang bukan warganegara yang telah menjalani saringan di tempat kerja.

"Sementara menunggu keputusan ujian, majikannya telah mengambil inisiatif meletakkannya di bawah kuarantin di sebuah hotel di Subang Jaya, justeru merupakan lokasi yang turut didaftar dalam aplikasi MySejahtera.

"Namun demikian setelah mendapat keputusan saringan COVID-19, alamat pendaftaran kes tersebut dipindahkan semula ke alamat tempat tinggal beliau iaitu di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras
sebelum beliau dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, ia penting kerana segala tindakan pengesanan kes secara aktif dan juga saringan kontak rapat dijalankan di lokasi tempat kediaman kes, iaitu di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

"Lokasi itu juga turut dikemaskini di aplikasi MySejahtera sebagai alamat kes tersebut," ujarnya.

KKM juga melahirkan penghargaan kepada orang ramai yang telah menggunakan pelbagai fungsi aplikasi MySejahtera, dan ternyata masyarakat cakna dengan perkembangan kes COVID-19 di sekitar mereka.

"KKM mengucapkan terima kasih atas kerjasama dalam melaporkan sebarang isu berkaitan COVID-19 kepada KKM. KKM juga ingin menasihatkan orang ramai agar hanya berkongsi maklumat yang terbukti kesahihannya agar tidak menimbulkan panik dalam masyarakat," ujar beliau.