Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini menafikan dakwaan bahawa pelajar tahfiz yang positif COVID-19 dari Kluster Sendayan, Negeri Sembilan telah menyebarkan virus tersebut sehingga menjangkiti saudaranya di Alor Setar, Kedah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung perkara tersebut.

“Jadi saringan akan tetap dijalankan, tetapi apa yang dimuat naik di Facebook adalah tidak benar dan kita tiada pun laporan kes tersebut.

“Tetapi apa yang pasti, kita masih menjalankan ujian saringan berterusan (ke atas pelajar tahfiz),” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Ahad.

Terdahulu, tular di laman sosial dakwaan seorang pengguna Facebook bahawa pelajar tersebut telah ke kampung halamanya di Alor Setar, dan menunaikan solat Jumaat.

Sumber Facebook OfficialJKNKedah

Dakwa kenyataan tersebut lagi, pelajar terbabit turut menyebarkan virus COVID-19 kepada saudaranya, yang merupakan seorang kanak-kanak.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang sebelum ini telah pun menafikan mesej yang tular itu.

Dalam pada itu, tegas Dr Noor Hisham, KKM turut mempunyai rekod kira-kira 120 sekolah tahfiz berdaftar di negara ini.

“Jadi kita menjalankan pengesanan kontak kepada mereka dan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka telahpun pulang ke rumah masing-masing.

“Jadi, sampai hari ini pun kita ada nama dan kita akan menjalankan pengesanan kontak. Sekolah tahfiz atau pelajar tahfiz adalah salah satu kumpulan sasaran yang kita telah kenalpasti dan kita akan menjalankan saringan untuk mereka.

“Yang pasti kita bukan nak stigmakan mereka tetapi mahu pastikan mereka tiada virus tersebut,” tambah beliau.