Mempunyai kepakaran mengesan dan mencari pesawat hilang, Prof Dr Kamaruzaman Jusoff adalah individu pertama yang membangunkan bidang Pesawat Pengimejan Hiperspektral di negara ini.

Usahanya membangunkan bidang baharu itu dilakukan semasa beliau berkhidmat di Universiti Putra Malaysia pada 1995.

Bertugas di Fakulti Sains Sumber dan Teknologi, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sejak dua tahun lepas, insan yang mesra dengan panggilan Haji KJ ini lebih senang bekerja di belakang tabir setiap kali terlibat dalam mana-mana misi pencarian pesawat hilang di Malaysia.

Beliau bermula dengan misi pencarian helikopter 'hilang' di Bario, Sarawak pada 12 Julai 2004 diikuti beberapa misi lain termasuk 'kehilangan' pesawat pejuang Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 1 Jun 2006 di perairan Mersing.

Kemudian beliau terlibat dalam pencarian kehilangan pesawat Nuri TUDM di Genting Sempah pada 13 Julai 2007 dan pencarian pesawat MH 370 yang masih belum ditemui setelah dilaporkan hilang daripada radar pada 8 Mac 2014.


PESAWAT PENGIMEJAN HIPERSPEKTRAL


Dilahirkan 61 tahun lalu di Kota Baharu, Kelantan, Kamaruzaman memperoleh ijazah doktor falsafah (PhD) dalam jurusan teknologi setelit dari Cranfield University, England di bawah tajaan Overseas Research Students Award (ORS), Committee of Vice Chancellors and Principals, United Kingdom.

Setelah pulang ke Malaysia, beliau cuba mengaplikasikan kepakarannya dalam bidang satelit namun berhadapan sedikit kekangan berikutan keadaan muka bumi di negara ini. Hutan tropika yang melitupi muka bumi dengan kabus tebal menyukarkan beliau untuk mengumpul data apabila pengimbas (sensor) berada di atas paras awan.

Justeru itu, cara terbaik mengatasinya adalah dengan menurunkan sensor ke bawah paras awan. Maka, terhasillah idea pengimejan pesawat terbang di mana sensor itu diubah suai pemasangannya dalam pesawat seperti Cessna TUDM.

Menggunakan teknologi yang dibangunkan sejak 1994, kaedah hiperspektrum itu mampu mengenal pasti objek yang sukar dilihat oleh manusia.

Sensor seberat 15 kilogram itu ringan dan mudah dibawa ke dalam pesawat terbang untuk mengambil dan mengumpul data atau 'spectral signature' (atau DNA) setiap objek yang ditemui sepanjang pencarian bagi tujuan analisis setelah pesawat mendarat.

Sekiranya DNA objek yang dicari terdapat dalam pangkalan data, pencarian menjadi lebih mudah kerana proses memadankan objek dengan DNA yang ada menjadi lebih cepat.

"Setiap kali terbang, saya akan simpan data objek yang ditemukan kerana DNA bagi setiap objek itu berbeza-beza.

"Buat masa sekarang, perpustakaan spektrum data saya menyimpan beberapa DNA pesawat antaranya Boeing 777, Boeing 737, helikopter Nuri TUDM dan jet pejuang Hawk TUDM. Sekiranya pesawat ini hilang, pencarian akan menjadi lebih mudah kerana DNA pesawat itu ada dalam simpanan," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kebanyakan DNA yang diperoleh adalah daripada kerja-kerja pencarian terdahulu, katanya sambil memberitahu ia bukan tugas mudah untuk mendapatkan DNA sama ada dari pesawat tentera mahupun komersil.

"Ini cabaran yang dihadapi. Sekiranya ada ruang yang diberikan terutama oleh pihak tentera untuk mendapatkan DNA pesawat yang ada, ia sangat berguna kerana dapat membantu mengesan pesawat yang hilang dengan lebih cepat," jelasnya.


PENGALAMAN SAR


Kamaruzaman berkata pengalaman pertama menyertai misi mencari helikopter Bell 206 Long Ranger yang hilang di Bario adalah secara kebetulan.

Ketika diarahkan ke Bario untuk mencari helikopter yang hilang, beliau berada di Sabah kerana membantu operasi mengesan bot-bot pancung yang menyeludup rokok ke pulau-pulau di situ melalui kaedah Pengimejan Hiperspektral Pesawat Terbang.

"Ketika menerima arahan, sudah seminggu pesawat yang membawa enam penumpang dan seorang juruterbang itu dilaporkan hilang di kaki Gunung Murud dekat Bario," katanya.

Beberapa lokasi pencarian ditetapkan dengan melibatkan banyak pihak termasuk polis, tentera, bomba dan penduduk kampung yang melibatkan 20 buah pesawat pelbagai jenis termasuk Nuri, Black Hawk dari Brunei, PC Orient dari Amerika Syarikat dan Mil-8 dari Rusia.

Dua hari sebelum penemuan helikopter itu (pada hari ke-14), beliau dibantu oleh seorang pakar agama dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) untuk mengesan lokasi helikopter tersebut.

"Dalam pencarian itu, saya diberitahu individu berkenaan bahawa pesawat yang dikatakan hilang itu sebenarnya berada di laluan yang telah dicari sebelumnya, namun perlu 'dibuka hijab' oleh sesorang yang lebih tinggi kepakaran kerohaniannya kerana ia dilitupi oleh sesuatu dalam dimensi dunia lain," katanya.

Pada hari terakhir pencarian, beliau dibantu pula oleh seorang lagi pakar agama dan mereka mengesan lokasi pesawat Bell.

"Kesimpulannya, sehebat manapun teknologi yang dicipta manusia, tidak akan mampu untuk mengatasi kekuasaan Allah. Sebenarnya helikopter itu ditemui di lokasi yang berada di laluan pencarian sejak hari pertama hingga hari ke-16. Ia mungkin satu misteri tetapi jika kita yakin dengan kekuasaan Allah semuanya boleh berlaku atas kehendakNya," kata Kamaruzaman.

Misi kedua adalah ketika mencari pesawat pejuang Hawk 208 TUDM yang hilang di Mersing pada 2 Jun 2006.

Berdasarkan pengalamannya di Bario-Ba'Kelalan, Kamaruzaman dipanggil pula untuk mengetuai misi mencari dan menyelamat pesawat yang dipandu oleh Mejar Muhammad Rohaizan Ab Rahman (Allahyarham) selepas seminggu hilang di perairan Mersing.

"Memandangkan pesawat itu milik tentera udara, beberapa prosedur standard perlu dipatuhi. Selama hampir seminggu saya diarahkan terbang untuk mencari di perairan Laut China Selatan.

"Mengikut pengalaman di Bario-Ba'Kelalan, pesawat yang hilang dari radar biasanya berada tidak jauh dari tempat terputus daripada pemantauan radar. Apabila dibenarkan melakukan pencarian di kawasan yang diyakini, saya terus terbang semula ke kawasan Flight Path Line (FPL) yang dikatakan pesawat Hawk itu terputus dari radar.

"Didapati satu anomali (keganjilan) di tebing persisiran Pantai Lanjut, Rompin. Dengan kuasa Allah, helikopter itu ditemui kira-kira 150 meter dari pantai itu pada hari ke-26 kehilangannya," katanya.


MENCARI NURI


Beliau juga dipanggil untuk menyumbangkan kepakaran dalam misi mencari helikopter Nuri milik TUDM yang terputus kawalan udara daripada radar pada 13 Julai 2007 di kawasan Genting Sempah, daerah Bentong, Pahang .

TUDM menghubungi beliau untuk membantu pada hari keempat pencarian. Ketika memulakan operasi mengumpul data, beliau diberikan kebebasan untuk mengikut laluan yang dirasakan dilalui helikopter yang hilang.

Kamaruzaman diberi kemudahan menggunakan helikopter milik Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pesawat Cessna TUDM untuk berulang-alik dari Pangkalan Udara Sungai Besi dan Subang ke kawasan kejadian, sepanjang terlibat dalam operasi itu. Beliau turut dibantu pakar 'rohaniah' dalam misi pencarian itu.

"Ketika melalui Gunung Bunga Buah berhampiran Genting Highlands-Genting Sempah, pakar 'rohaniah' itu memberitahu bahawa beliau tidak mampu 'membuka' laluan di situ.

"Teringatkan insiden di Bario-Ba'Kelalan, saya faham maksud beliau kerana saya juga menjangkakan di situlah helikopter itu hilang," jelasnya.

Pada hari kelima misi pencarian, Kamaruzaman dibantu pula oleh seorang Jeneral Kor Agama Angkatan Tentera Malaysia (KAGAT) yang mempunyai kepakaran kerohanian lebih tinggi serta sangat berpengalaman untuk berkomunikasi dengan makhluk dalam dimensi lain.

Dengan alunan ayat-ayat al-Quran, dimensi tersebut dapat 'dibuka' sekali gus, sensor pengimejan hiperspektral yang dipasang di dalam pesawat mengesan satu objek di kawasan tersebut.

Beliau berpendapat penggunaan teknologi secanggih mana sekali pun tidak akan dapat membantu mencari pesawat hilang di laut mahupun di darat tanpa mengumpulkan pakar-pakar teknologi serta ilmuwan kerohanian untuk tujuan tersebut.

"Pesawat canggih dan berteknologi tinggi seperti Boeing yang sedang terbang, tiba-tiba boleh hilang. Apabila hilang daripada kawalan radar, perlulah memberi penekanan dan kepercayaan kepada gabungan kerjasama kepakaran agama dan profesional di dalam negara terlebih dahulu," katanya merujuk kes kehilangan MH370.


MISTERI KEHILANGAN MH370


Usaha merungkai kehilangan pesawat MH370 sejak empat tahun lalu masih menjadi misteri setelah kerajaan Malaysia menamatkan pencarian di Lautan Hindi pada Mei 2018 baru-baru ini tanpa sebarang penemuan.

Pencarian pesawat komersil yang membawa 239 orang penumpang dan anak kapal itu juga menyimpan pengalaman berharga kepada Kamaruzaman, yang turut terlibat dalam misi pencarian pesawat itu.

"Kita tidak tahu di mana MH370 berada setelah kehilangannya daripada radar pada 8 Mac 2014. Mengikut laporan yang dikeluarkan, ia tidak berkesudahan, tidak tahu di mana dan kita tak boleh salahkan sesiapa.

"Sampai sekarang kita tidak tahu puncanya, Cuma yang terus menjadi persoalan kepada saya, adakah benar, pesawat itu membuat 'air turning back (ATB)...mana buktinya jika betul itu yang berlaku," soalnya.

Kamaruzaman yakin bahawa pesawat itu tidak membuat pusingan balik dan mendakwa ia berada di laluannya sebelum hilang daripada radar.

Mengimbas kembali penglibatannya dalam pencarian pesawat malang itu, beliau berkata: "Jika tidak silap, saya terpanggil untuk membantu misi mencari dan menyelamat pada hari kelapan kehilangan pesawat itu.

"Setelah memberi penerangan dan menceritakan pengalaman tiga pencarian pesawat 'hilang', saya diminta untuk pergi ke lokasi yang saya yakini," katanya dan memberitahu beliau terbang ke lokasi berkenaan bersama seorang pakar agama keesokannya untuk membantu dalam pencarian itu.

Kali pertama dalah untuk tinjauan awal di lokasi, kunjungan kedua menggunakan sensor hiperspektral dengan bantuan pakar 'rohaniah' yang menaiki pesawat bersama-sama beliau untuk 'membuka laluan' di lokasi tersebut dan tinjauan ketiga untuk mengesan melalui udara dan laut.

Sepanjang tiga kali ke lokasi kejadian, beliau mengambil dan merekodkan koordinat yang dipercayai lokasi pesawat itu. Semua sudut kajian, dapatan dan pemerhatian termasuk pelbagai laporan media sentiasa diikuti namun hingga ke hari ini tiada usaha untuk cuba memastikan pemetaan di lokasi tersebut oleh pihak berkuasa.

Beliau mendakwa sepertimana tiga insiden pencarian terdahulu, pesawat yang 'hilang' itu tidak terhempas dan komponen kesemua pesawat itu tidak berkecai kecuali sedikit kerosakan pada badan pesawat.

"Ada kemungkinan misteri MH370 juga melalui fasa begitu kerana tidak ada sebarang bukti yang pesawat itu terhempas di lautan mahupun di daratan setakat hari ini. Saya yakin apabila pesawat itu 'hilang' ke suatu lokasi dan dimensi, fiuslaj dan komponen lain tidak banyak terpisah," katanya.Kamaruzaman juga bersedia berkongsi kepakaran dan pengalamannya sekiranya kerajaan baharu Malaysia ingin meneruskan usaha pencarian MH370. - Disunting oleh Sarimah Othman

--BERNAMA