Demi seorang sahabat, Ketua-ketua Bahagian UMNO berpakat untuk melawat bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kediamannya di Jalan Langgak Duta.

Antara yang hadir untuk memberi sokongan moral terhadap Najib Razak adalah Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri.

Menurut Ismail Sabri, beliau hadir untuk memberi sokongan moral kepada bekas pemimpin negara itu pada saat beliau dilanda musibah.

Ketika ditanya tentang mengapa pemimpin UMNO berpakat untuk hadir melawat hari ini dan bukan sejak hari pertama, jawabnya mudah sahaja.

“Kami ingin memberikan masa pada siasatan yang dijalankan, hari ini dilihat sesuai untuk melawat jadi kami datang hari ini untuk berjumpa beliau (Najib)," katanya ketika ditemui di perkarangan kediaman Najib Razak di Jalan Langgak Duta, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar turut hadir untuk melawat bekas Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional itu.

“Kita melawat rakan yang dalam kesusahan. Jangan masa senang sahaja kita ada bersama dia,” ujarnya.

Antara lain yang datang melawat Najib Razak adalah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican.