Kegigihan seorang anak penebar roti canai bekerja sambilan dengan mengambil upah menghantar makanan, menjual nasi bungkus dan air mineral di balkoni asrama berbaloi apabila dia berjaya menamatkan pengajian dengan cemerlang di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Lebih membanggakan apabila penuntut lepasan ijazah tersebut, Siti Madihah Situah, 24, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran Diraja UMK pada Majlis Istiadat Konvokesyen UMK di sini Sabtu lalu.

Penuntut yang berasal dari Selangor itu berkata, kejayaan yang dicapai itu adalah hadiah terindah dia sebagai anak sulung daripada lima beradik terhadap kedua ibu bapanya, Siti Aliza Sahar, 48, dan Situan Mokhtar, 51.

Katanya, bapa membesarkan mereka dengan menjual roti canai di Tanjung Karang, Selangor manakala ibu mereka pula suri rumah sepenuh masa.

“Sepanjang pengajian saya di sini saya melakukan kerja sambilan dengan mengambil upah menghantar makanan dari bilik ke bilik asrama dan menjual nasi bungkus serta air mineral di balkoni asrama untuk menampung pengajian.

“Pada masa sama, saya bahagikan masa antara belajar dan bekerja sambilan dengan baik serta memberi tumpuan sepenuhnya ketika pembelajaran di dalam kelas bagi memastikan tidak tercicir,” katanya ketika ditemui di selepas Majlis Konvokesyen ke-9 itu di Dewan Tuanku Canselor UMK Bachok baru-baru ini.

Siti Madihah turut menerima anugerah terbaik alumni dan fakulti apabila mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.8 dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Pentadbiran Perniagaan (Perbankan dan Kewangan Islam).

Menurutnya, dia juga tidak malu untuk mengaku bapanya bekerja sebagai penebar roti canai dan membuktikan dirinya juga mampu berjaya walaupun hidup dalam serba kekurangan.

“Kemiskinan kami dan pengorbanan ibu bapa dalam menyara keluarga sebagai penebar roti canai menjadi pendorong kuat yang menjadikan saya pada hari ini.

“Saya tekad belajar bersungguh-sungguh untuk balas jasa ayah yang banyak berkorban untuk membesarkan saya dan adik beradik lain,” katanya.

Sementara itu, suasana di perkarangan dewan bertukar hiba apabila ibu penuntut terbabit, Siti Aliza memeluk erat anaknya itu sambil menangis bangga akan kejayaan tersebut.

Siti Aliza hadir ke majlis itu bersama empat lagi anaknya dengan menumpang kenderaan adik kerana dia tidak mempunyai kereta sendiri manakala bapa Siti Madihah pula tidak dapat hadir kerana tidak sihat akibat terlalu kuat membanting tulang mencari sumber pendapatan keluarga itu.

Pada majlis yang berlangsung selama tiga hari bermula Sabtu itu seramai 2,062 penuntut UMK menerima sijil masing-masing membabitkan 17 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 38 graduan Ijazah Sarjana, 27 graduan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dan 1,980 graduan menerima sijil Ijazah Sarjana Muda.