MENJELANG beberapa hari lagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis akan berlangsung, kedua-dua calon yang bertanding mempunyai aspirasi besar bagi memastikan calon yang diberikan mandat mampu mewakili suara rakyat di kawasan Parlimen P176 ini.

Ikuti temu bual Astro AWANI bersama calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang.

Ini merupakan satu pertandingan yang memberi satu signifikan tersendiri secara peribadi kerana Datuk yang membawa petisyen ini. Apa pandangan Datuk?

Jawapan: Yang pertamanya ialah Parti Warisan telah membuat petisyen sebanyak sembilan petisyen, daripada kerusi-kerusi yang mereka tandingi, yang kami tandingi dan hanya Kimanis ini sahaja lah petisyen yang telah diterima dan telah melalui proses undang-undang ke mahkamah, Mahkamah Persekutuan dan akhirnya keputusan dibuat untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) ini. Jadi, daripada sembilan kes itu hanya petisyen Parlimen Kimanis sahaja yang telah sampai menuju matlamatnya.

Selepas itu Datuk sekali lagi dipilih oleh pimpinan parti Warisan, biarpun Datuk sebagai orang lama di Bongawan dan juga di Parlimen Kimanis ini, apatah lagi Datuk juga yang berlawan dengan Datuk Seri Anifah Aman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu. Jadi, bagaimana perasaan Datuk apabila pimpinan memangil Datuk sekali lagi untuk bertanding di Parlimen Kimanis ini?

Jawapan: Saya menghargai kepercayaan yang telah diberikan oleh Parti Warisan untuk saya bertanding sekali lagi dalam PRK ini.

Saya tahu memang saya telah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan Bongawan selama lima penggal dan kawasan ini memang amat saya ketahui setelah menjadi ADUN yang dianggarkan panjang. Jarang wakil rakyat sampai ke lima penggal itu, kadang-kadang dua dan tiga, tetapi saya telah mewakili tempat ini dan saya yakin dengan pengalaman, keadaan landskap politik di kawasan ini, saya rasa boleh membantu Parti Warisan - satu untuk mengekalkan kerusi Parlimen ini bagi pihak Warisan dan juga parti komponen yang menyertai Pakatan Harapan (PH) di Sabah ini, selain daripada parti Warisan, Pakatan Harapan, dan juga UPKO merupakan parti-parti yang telah bersatu dalam pentadbiran negeri.

Jadi, saya yakin keputusan untuk menjadikan saya sebagai calon Warisan itu diterima baik oleh semua komponen parti.


Ada pihak beranggapan bahawa apa lagi yang boleh disumbangkan oleh Datuk kerana sudah pun menjadi ADUN Bongawan selama lima penggal tetapi hanya bertukar kepada parti Warisan selepas Parti Warisan ditubuhkan. Jadi, adakah Datuk merasakan defensif apabila diberikan persepsi begitu?

Jawapan: Saya akui bahawa pendapat sedemikian kebetulan, tetapi harus diingat bahawa sebagai wakil rakyat yang saya rasa komited dengan tugas tersebut, saya mengetahui di mana perkara-perkara ataupun perancangan-perancangan yang telah dirancang tetapi belum dilaksanakan. Umpamanya, masih terdapat kemudahan-kemudahan asas yang dari mula saya menjadi wakil rakyat sehingga tamat tempoh wakil rakyat tersebut pada tahun 2013, masih banyak lagi yang belum tertunai.

Jadi, peluang ini akan saya jadikan sebagai peluang keemasan untuk melaksanakan dan membantu permohonan-permohonan rakyat yang sebelum ini mungkin terlepas pandang dan juga mungkin tidak diberikan keutamaan.

Adapun saya sejak lima atau enam tahun yang lepas, ADUN di kawasan ini memang daripada calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding, dan saya kira beliau juga tidak dapat melakukan semua apa yang telah saya fikirkan perlu dibuat waktu itu.

Ini ada hubung kait juga dengan mantan Ahli Parlimen yang lalu dan saya rasa masih banyak lagi yang perlu dibuat di kawasan ini.


Perancangan Datuk jika dipilih sebagai wakil rakyat pada 18 Januari ini, apa perkara yang begitu mendesak - perlu disegerakan untuk dibawa ke Parlimen?

Jawapan: Yang amat saya bimbangkan ialah bilangan pengangguran yang semakin meningkat, bukan sahaja di peringkat diploma tetapi juga di peringkat Ijazah juga.

Saya kira itu menjadi fokus utama saya, mengusahakan supaya kemudahan yang ada di Kimanis ini yang rata-rata berasaskan minyak dan gas - itu sepatutnya kita manfaatkan dengan mengadakan industri hiliran. Daripada industri hiliran itu, peluang pekerjaan akan dapat diwujudkan dan sedikit sebanyak ia boleh mengurangkan insiden pengangguran yang agak serius di kawasan ini.


Datuk yakin pelaburan boleh dibawa masuk ke Kimanis?

Jawapan: Saya yakin sebabnya Kimanis mempunyai faktor-faktor menarik, umpamanya (industri) minyak dan gas sudah tersedia, cuma kita hendak berunding dengan Petronas supaya jangan lah gas itu, 100 peratus disalurkan ke Bintulu (Sarawak) untuk diproses. Sabah juga perlukan processing centre ataupun downstream processing supaya peluang pekerjaan dapat diadakan.

Selain itu juga, Kimanis berpotensi untuk dimajukan dari segi pelancongan, sungai, hutan paya, pantai yang cantik, dan beberapa tempat yang boleh saya rasa dimajukan untuk industri pelancongan. Dan hari ini juga, pelancongan merupakan aktiviti yang berkembang pesat di kawasan Bongawan dan Membakut. Kedua-dua (lokasi) ini mempunyai daya tarikan daripada segi hutan baka, flora dan fauna - daripada monyet belanda dan juga kunang-kunang pada waktu malam.

Saya secara peribadi telah memulakan peluang pelancongan ini di Binsulok dan hari ini Binsulok sudah terkenal dengan produk pelancongan sedemikian. Saya rasa kalau Binsulok boleh dimajukan, di tempat lain juga boleh dimajukan. Saya yakin apa yang kita perlukan ialah pelabur untuk membawa modal, dan mula melabur di kawasan ini terutama sekali di kawasan-kawasan yang agak menarik.


Ada segelintir pihak mengatakan Warisan mentadbir selama dua tahun di Sabah, dan mengambil peluang - polisi dan dasar kerajaan yang sudah dilaksanakan kerajaan sebelum ini iaitu dasar kerajaan BN seperti Pan Borneo.

Apa kelebihan jika Datuk dipilih kerana mereka katakan, kalau pembangkang dipilih pun pembangunan akan datang juga seperti kawasan-kawasan lain sebelum ini. Bagaimana Datuk membaca perdebatan seumpama ini?

Jawapan: Tidak, begini, memang sudah menjadi tradisi kawasan-kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat kerajaan akan mempunyai kelebihan daripada agihan dana dan sebagainya. Selain daripada itu, kementerian-kementerian juga dikendalikan oleh parti yang sama, jadi hubungan sedemikian boleh membantu mempercepatkan proses permohonan untuk mendapatkan peruntukan dan melaksanakan projek-projek.


Jadi tidak timbul dakwaan bahawa Warisan "mengaku" itu adalah projek yang dibawa Warisan?

Jawapan: Saya rasa begini, pendapat dan pandangan ataupun projek-projek yang telah diilhamkan pada masa kerajaan yang lepas, kalau kita kira (fikir) ia bagus, kita akan laksanakan demi rakyat. Kita harus menerima hakikat bahawa bukan Warisan atau kerajaan yang lepas sahaja yang mempunyai idea yang bernas, sesiapa pun boleh mengeluarkan pendapat dan membuat cadangan - itu secara "gentleman" kita harus terima dan lakukan. Itu sebenarnya semangat dalam sistem demokrasi yang harus kita praktikkan, bukan membantah atau membangkang segala-gala yang datang daripada parti lawan.

Saya berpendapat kita harus terbuka menerima apa yang baik, kita laksanakan, dan mana yang kurang baik, kita akan teliti semula dan membuat penilaian.


Ada masalah dari segi infrastruktur jalan raya dan kebanyakan kampung-kampung tradisi yang berselerak di seluruh Bongawan dan Membakut masih dengan jalan yang tidak bertar. Jadi, impian Datuk dalam hal ini?

Jawapan: Saya mula menjadi wakil rakyat di kawasan ini sejak tahun 1990. Bayangkan lah sehingga hari ini pun masih banyak lagi kampung-kampung yang mempunyai jalan raya yang belum diturap, bekalan air bersih, bekalan elektrik dan sebagainya.

Ini saya akui, proses pembangunan ini memakan masa yang agak panjang dan saya kira peluang saya untuk membawa perubahan itu hanya akan dibuat sekiranya saya mendapat sokongan dan juga tempat di kawasan ini.

Kalau dibandingkan dari tahun 1990, memang banyak yang telah kita lakukan samada ia dari segi infrastruktur dan kemudahan-kemudahan pelajaran seperti sekolah dan kemudahan asas yang lain.

Jadi, saya kira memang bersesuaian lah kalau kita fikirkan keperluan-keperluan seperti itu diberi keutamaan dan saya tahu, waktu saya mula jadi ADUN di sini, tahap atau peratus bekalan air pada waktu itu tidak sampai lima peratus dan bekalan elektrik tidak sampai 60 peratus daripada jumlah penduduk di kawasan ini. Hari ini masih, tetapi tidaklah begitu teruk.

Tetapi masih ada lagi kawasan-kawasan yang tertinggal. Jadi, saya kira peluang yang akan saya lakukan ialah memperbaiki kelemahan-kelemahan dan memastikan segala keperluan asas yang dikehendaki oleh rakyat akan kita berikan keutamaan.


Berkenaan isu Pas Sementara Sabah (PSS), menjadi isu besar kerana Warisan seolah-olah cuba menipu rakyat Sabah dengan memberi kerakyatan mudah ataupun mengiktiraf Pendatang Tanpa Izin (PATI) atau warga asing. Jadi, apa pandangan Datuk?

Jawapan: Saya lihat pelaksanaan PSS lebih menjurus kepada masalah pentadbiran. Jadi, adapun cadangan untuk memberikan PSS itu ialah untuk, satu mengenal pasti pemegang-pemegang yang sudah sekian lama memegang kertas dan dokumen lain, akan dapat diselaraskan dan dapat kita jejaki, selain mengetahui bilangan yang sebenar.

Hari ini, tiada orang di Sabah ini yang boleh memberitahu berapa sebenarnya pemegang atau bilangan PATI yang tidak mempunyai dokumen. Jadi, saya kira idea juga, saya dimaklumkan dicetuskan pada zaman kerajaan lepas tetapi mereka tidak dapat melaksanakannya disebabkan oleh proses pertukaran. Kalau boleh, saya mahu parti-parti pembangkang menganalisa masalah sebenar dan membuat komen-komen yang bernas selain daripada membuta tuli dengan menyatakan bahawa PSS akan dijadikan sebagai cara untuk mendapatkan tempat tinggal kekal (warganegara).

Saya kira, kita harus melihat pelaksanaan PSS ini dari segi objektif dan kita mengkritik tetapi kritika itu harus membina dan menjurus ke arah menyelesaian masalah PATI yang tidak mempunyai dokumen ini supaya ia dapat diuruskan dan diselesaikan dengan cara yang terbaik.

Bagi saya usaha untuk memberikan PSS itu ialah usaha yang harus diberi sokongan supaya masalah yang sudah berpuluh tahun ini dapat kita selesaikan dari peringkat bawah sehinggalah peringkat yang lebih tinggi. Tetapi hari ini, bilangan makin bertambah dan penyalah gunaan tiga kertas (Kad Burung-Burung, Pas Banci dan IMM13) - masih berleluasa dan saya kira jika tidak ada kaedah politik untuk menyelesaikan masalah ini, kita akan terus dibebani dengan masalah-masalah tersebut sehingga ke anak cucu.

Saya kira ini masalah nasional dan ia melibatkan semua orang. Ia bukan masalah politik atau masalah lain, tetapi bagi saya ia lebih kepada usaha untuk menggunakan isu ini sebagai isu politik untuk mendapat simpati daripada rakyat mungkin terkeliru daripada maklumat dan penerangan yang dibuat oleh parti pembangkang.


Apa pesanan Datuk kepada pemilih di Kimanis yang akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 18 Januari ini?

Jawapan: Saya mengambil peluang ini untuk menyatakan bahawa PRK memang perkataan yang kecil tetapi maknanya besar. Pilihan raya ini akan memberi peluang keemasan kepada rakyat Kimanis untuk memilih calon dan menjadikan calon tersebut sebagai Ahli Parlimen yang hanya akan mempunyai waktu tiga tahun sebelum pilihan raya akan datang (PRU15).

Saya kira kalau kita masih memberi peluang kepada pihak pembangkang, keadaan di Parlimen Kimanis ini - saya pasti tidak akan banyak berubah.

Untuk mendapat perubahan yang agak signifikan, kita perlu membuat perubahan ini dan bersatu untuk memilih wakil yang mendapat sokongan daripada kerajaan - Negeri dan Persekutuan supaya segala permasalahan yang lepas itu akan dapat dirungkai sehingga kita mendapat hasil daripada usaha itu.

Untuk temu bual penuh, anda boleh saksikan di program Agenda AWANI pada pukul 9 malam ini.