Satu laporan polis telah dibuat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berhubung gambarnya yang disalah guna oleh sindiket Macau Scam untuk menipu mangsa.

Menurut Mohd Wazir, beliau menyedari perkara itu selepas diberitahu oleh penolong pegawai penyiasat yang gambarnya digunakan sebagai gambar profail di aplikasi WhatsApp milik sindiket tersebut.

"Saya dimaklumkan oleh penolong pegawai polis berkenaan sindiket Macau Scam itu menggunakan gambar saya bagi menipu orang ramai termasuk seorang lelaki di Puchong, Selangor.

"Sindiket ini menggunakan taktik Macau Scam bagi memperdaya mangsa mereka. Sehingga ini terdapat dua laporan polis diterima berkaitan kes ini," katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Katanya lagi, sindiket Macau Scam ini dipercayai menggunakan gambarnya bagi meyakinkan lagi mangsa ketika melakukan aktiviti penipuan mereka.

"Saya juga sudah memohon kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memadam gambar saya yang digunakan oleh sindiket ini.

"Saya meminta orang awam untuk berhati-hati jika menerima pesanan WhatsApp daripada sindiket yang menggunakan gambar saya dan menasihatkan supaya tidak melayani pesanan itu atau membuat laporan polis," katanya lagi.