Seorang gengster rakyat Taiwan berumur 29 tahun dan seorang rakyat Malaysia berusia 19 tahun, yang disyaki menjadi ketua geng sindiket 'Macau Scam' yang kini lumpuh, akan didakwa mengikut Akta Pemerdagangan Orang (TIP) Thailand, yang memperuntukkan hukuman berat, dan Seksyen 312 Kanun Keseksaan kerana mengurung serta memukul mangsa mereka.

Kedua-dua mereka berdepan tempoh hukuman yang panjang di dalam penjara Thai dan denda yang berat jika didapati bersalah oleh mahkamah.

"Empat lagi rakyat Malaysia anggota sindiket itu, empat lelaki dan seorang wanita, kini ditahan oleh imigresen Thailand untuk disoal siasat," kata Pemangku Timbalan Ketua Biro Polis Pelancongan Mej Jen Surachet Hakpan kepada media di sini pada Isnin.

Selepas disoal siasat, empat rakyat Malaysia itu akan dihantar pulang dari Thailand selain disenarai hitam daripada memasuki negara ini pada masa depan, katanya.

Dalam operasi pada Jumaat lepas susulan maklumat yang disampaikan kedutaan Malaysia di sini, polis Thai menyerbu sebuah kondominium di pinggir Bangkok dan menyelamatkan seorang wanita Malaysia yang menderita akibat dipukul oleh anggota sindiket.

Wanita itu yang dikurung di dalam kondominium berkenaan secara paksa, mengalami kecederaan pada lengan, kaki dan punggung selepas dipukul dengan batang besi dipercayai oleh lelaki Taiwan itu. Wanita itu kemudian dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan bagi kecederaannya.

Semasa serbuan itu, pihak berkuasa menahan lima lagi rakyat Malaysia berusia antara 22 hingga 27 tahun, manakala suspek berusia 19 tahun disyaki ketua geng dari Melaka ditahan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada Sabtu sebaik tiba dari Malaysia.

Polis Thai kemudian mengenal pasti seorang daripada lima rakyat Malaysia yang ditahan, iaitu seorang lelaki, sebagai seorang lagi mangsa sindiket itu.

Hakpan berkata sindiket itu tidak menyasarkan warga Thai dan hanya menjadikan rakyat Malaysia serta China sebagai mangsanya.

"Apabila sindiket itu menerima wang daripada mangsa menerusi sindiket penipuan ini, mereka akan memindahkan wang itu ke dalam matawang Bitcoin," katanya, dan menambah, polis meneruskan siasatan mereka ke atas operasi sindiket terbabit.

Sementara itu, seorang pegawai polis yang terlibat dalam siasatan itu memberitahu Bernama, rakyat Malaysia berusia 19 tahun itu menyewa kondominum itu menggunakan namanya sendiri sejak Ogos, manakala wanita yang diselamatkan itu pula bekerja dengan sindiket itu dari September hingga pertengahan Oktober.

Beliau berkata gengster warga Taiwan itu meminta RM300,000 daripada wanita terbabit jika dia mahu berhenti kerja dengan sindiket itu.

Supt Ridzuan Abdul Aziz daripada Kedutaan Malaysia yang turut hadir dalam persidangan media pada Isnin, merakamkan penghargaan kepada Polis Thai berikutan tindakan pantas mereka selepas menerima laporan daripada kedutaan.

Katanya operasi itu berjaya menyelamatkan mangsa rakyat Malaysia, dan menambah, pihak berkuasa Malaysia dan Thai bekerjasama dalam banyak kes antarabangsa sebelum ini dan mengharapkan hubungan akrab antara kedua-dua pasukan keselamatan ini akan dikekalkan.

-- BERNAMA