Keselesaan dan kesejahteraan dinikmati rakyat hari ini adalah hasil kerajaan yang stabil dan Barisan Nasional (BN) akan terus memastikan kesinambungan nikmat itu pada masa hadapan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata BN masih mampu memberi kestabilan politik dan memajukan ekonomi negara tanpa gagal, meskipun berdepan pelbagai cabaran, dan itulah pencapaian BN sejak ditubuhkan.

"Untuk memperkukuh asas itu, ini bukan perjuangan peribadi, bukan perjuangan individu tetapi perjuangan parti pemerintah," katanya ketika berucap merasmikan program Fiesta Sehati@RTM Bagus Bah sempena program Transformasi Komuniti Bergerak (Mobile CTC) di Pulau Bum Bum dekat sini, pada Sabtu.

Beliau berkata apabila semua pihak bersatu hati dan bersatu padu, maka negara akan lebih aman dan pembangunan dapat diteruskan ke seluruh negara termasuk di Sabah.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan masyarakat agar bijak membezakan antara maklumat sahih dengan fitnah atau tohmahan di media sosial.

Salleh berkata maklumat tidak sahih disebarkan pihak tidak bertanggungjawab dan disensasikan tanpa sebarang asas.

"Malah digunakan untuk membuat tuduhan selain kata-kata kesat yang penuh beremosi, dan ini merupakan usaha untuk memecah-belahkan hubungan sesama masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.

"Selain itu (mereka sengaja) memberikan gambaran tidak benar mengenai usaha kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Barisan Nasional," katanya.

Salleh berkata jika menerima maklumat meragukan, masyarakat boleh merujuk kepada sumber sahih sama ada menerusi agensi kerajaan atau media massa seperti RTM dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi mendapatkan penjelasan isu semasa serta untuk kefahaman lebih tepat.

"Tidak pasti, jangan kongsi kerana tindakan mewujudkan dan menyebarkan maklumat palsu ini tertakluk kepada peraturan dan undang-undang negara. Jadi mereka yang menyebarkan maklumat palsu ini akan berhadapan dengan tindakan sewajarnya," kata beliau bahawa maklumat tidak sahih menjadi punca kepada ketidakstabilan negara dan boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

Sementara itu, beliau memuji usaha RTM mengadakan program seumpama itu di Pulau Bum Bum dengan kerjasama Perbendaharaan Malaysia Sabah (PMS) dan disertai agensi kerajaan lain di bawah inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

"Penganjuran ini bertepatan ke arah merakyatkan jabatan dan agensi kerajaan yang turun padang bagi membantu menyelesaikan masalah rakyat di pulau ini dan kawasan sekitar Semporna," katanya.

Menurut Salleh, kerajaan sebagai penyedia perkhidmatan mahu penduduk di luar bandar termasuk di Semporna mendapat manfaat daripada bantuan kerajaan.

"Kita mahu rakyat di desa menikmati kemudahan disediakan kerajaan bukan setakat di bandar besar Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu," katanya, sambil menambah bahawa kerajaan mahu menyediakan prasarana di semua peringkat.

Di samping itu, Salleh berkata RTM berjaya membawa informasi tepat dalam memaparkan keharmonian masyarakat di negara ini termasuk keunikan serta tarikan di Semporna.

Beliau berkata RTM berperanan besar menjadi penghubung budaya dengan merakam, menyiarkan dan sekali gus merekodkan khazanah adat budaya tradisi di Malaysia.

-- BERNAMA