"Saya hanya hadir untuk memberi sokongan moral kepada sahabat (Ahmad Zahid)," demikian kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib yang tiba pada pukul 9.17 pagi berpakaian batik ungu bercorak bunga, terus meluru masuk ke perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk mengikuti perkembangan pendakwaan terhadap presiden UMNO dan bekas timbalan perdana menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Najib yang juga Anggota Parlimen Pekan dilihat meninggalkan kompleks mahkamah pada kira-kira 9.50 pagi menaiki kenderaan berwarna putih.

Antara pemimpin tertinggi UMNO yang hadir untuk menunjukkan solidariti terhadap Ahmad Zahid ialah timbalan presidennya Datuk Mohamad Hasan, naib presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan setiausaha agung Tan Sri Annuar Musa.

Ahmad Zahid ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di Putrajaya pada 3.15 petang semalam berhubung siasatan kes salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid menghadapi 45 pertuduhan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini membenarkan dia diikat jamin RM2 juta bagi kesemua pertuduhan itu.

Sementara itu, para penyokong Ahmad Zahid cuba merempuh masuk pagar utama perkarangan kompleks mahkamah.

Namun, tindakan mereka dapat dikawal oleh Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang mengawal rapi kedua-dua pagar kompleks mahkamah itu.

Sumber polis memberitahu Bernama, tahap keselamatan di perkarangan kompleks ketika ini terkawal dan meminta penyokong Ahmad Zahid mematuhi arahan ketika berada di kawasan mahkamah.

Kumpulan berbaju merah diketuai Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menenangkan semua penyokong dan meminta mereka duduk di tengah laluan ke pintu pagar masuk kompleks.

-- BERNAMA