Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Taman Semarak, Nilai, Azizan Manap, dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Majistret Seremban pagi tadi.

Guru berusia 44 tahun itu yang dikenali sebagai 'Cikgu Azizan', sepatutnya memulakan hari pertama perbicaraannya sebelum Majistret Mohd Zaki Abd Rahman mengumumkan keputusan tersebut.

Mohd Zaki memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya Hazeelia Muhammad, memaklumkan pendakwaan menerima arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menarik balik pertuduhan kes itu.

Mohd Zaki juga mengarahkan supaya duit jaminan sebanyak RM500 dikembalikan kepada Azizan.

Pada 31 Okt lalu, Azizan telah didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan oleh mahkamah yang sama atas pertuduhan mencederakan anak muridnya dengan sengaja di hadapan tapak perhimpunan sekolahnya pada jam 7 pagi, 6 April lalu.

Menurut dakwaan, Azizan telah menampar pipi kiri seorang murid Tahun Lima yang dikatakan melakukan kesalahan disiplin berat berulang termasuk menghidu gam, ponteng kelas dan membuli pelajar lain di sekolah.

Sementara itu, Azizan ketika ditemui pemberita menzahirkan rasa syukurnya terhadap keputusan mahkamah.

Dia juga berharap akan dapat kembali bertugas seperti biasa.

"Saya takkan berdendam apa-apa, profesional, saya akan bekerja macam biasa. Semua anak-anak murid adalah anak-anak saya," katanya sambil menambah dia turut memaafkan ibu bapa serta pelajar tersebut.

Kes ini mendapat perhatian seluruh negara dengan persatuan guru termasuk Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) serta netizen yang turut menyeru sokongan semua pihak terhadap Cikgu Azizan.