“Pemilik akaun mungkin sudah tahu terdapat kemasukan wang susulan untuk membayar overdraf akaun tersebut. Kita mempunyai pelanggan yang berbuat demikian.”

Itu kata-kata Pengurus AmBank cawangan Raja Chulan, R. Uma Devi apabila disoal balas peguam pembelaan, Harvinderjit Singh mengenai transaksi yang melibatkan wang keluar dan masuk daripada tiga akaun AmBank milik bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun mengakibatkan overdraf.

Ketika disoal balas Harvinderjit, Uma Devi mengesahkan beberapa dokumen yang ditunjukkan di mahkamah yang melibatkan beberapa keping cek yang dikeluarkan dan menyebabkan akaun tersebut menjadi overdraf sepanjang 2014.

Namun, terdapat transaksi susulan yang mengimbangi akaun-akaun tersebut kembali.

BACA: Kes SRC: Dua saksi mengaku terima jutaan ringgit daripada Najib untuk manfaat BN

Ia merujuk kepada penyata bank dari September 2014 di mana sekeping cek pembayaran bernilai RM5 juta dikeluarkan dan menyebabkan akaun dengan nombor akhir 898 menjadi overdraf.

Bagaimanapun, sehari kemudian terdapat pemindahan kredit bernilai RM5 juta untuk mengimbangi akaun berkenaan.

Uma Devi juga mengesahkan dana sebanyak RM10 juta dipindahkan masuk ke dalam akaun dengan nombor akhir 880 dan dipindahkan keluar ke akaun bernombor akhir 906 pada hari yang sama iaitu pada 10 Februari 2015.

LIPUTAN KOMPREHENSIF KES PERBICARAAN SRC


“Adakah anda (Uma) bersetuju bahawa pengendalian ketiga-tiga akaun ini adalah luar biasa apabila cek dikeluarkan walaupun tiada dana yang mencukupi dalam akaun tersebut?

“Boleh kita membuat kesimpulan bahawa individu yang mengeluarkan cek-cek tersebut tidak mempunyai pengetahuan tentang baki akaun tersebut?” tanya Harvinderjit ketika menyoal balas Uma Devi yang merupakan saksi ke-21 dalam perbicaraan berhubung SRC International.

Uma Devi mengiyakan ketika ditanya dan berkata pemilik akaun mungkin sudah tahu mengenai kemasukan wang yang akan berlaku kemudian untuk membayar overdraf akaun tersebut.