Pengurus AmBank cawangan Raja Chulan, R Uma Devi berkata, semua pemegang akaun bertanggungjawab terhadap sebarang transaksi yang melibatkan akaun mereka.

Saksi ke-21 itu berkata demikian selepas disoal balas oleh peguam bela, Harvinderjit Singh mengenai kemungkinan pemilik akaun tidak boleh dipertanggungjawabkan atas salah laku berkaitan akaun jika individu terbabit tidak pernah menerima penyata akaun.

“Jika pemegang akaun tidak pernah melihat penyata bank, sebagai contoh kenyataan itu (oleh pemilik), adakah kamu bersetuju bahawa pemegang akaun itu tidak bertanggungjawab?” tanya peguam bela Datuk Seri Najib Tun Razak itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada Khamis.

Uma Devi kemudian menjawab: “Pemegang akaun bertanggungjawab terhadap semua transaksi akaun.”

Harvinderjit bagaimanapun sekali lagi cuba mendapatkan pengesahan mengenai perkara itu, namun dibantah oleh pihak pendakwaan, V Sithambaran kerana soalan itu disifatkan berbentuk andaian.

“Ini conjecture (andaian). Jika ia (penyata bank yang dikatakan tidak ditunjukkan kepada Najib), ia conjecture. Itu hanya pandangannya (Uma Devi)," kata Sithambaran ketika membantah soalan Harvinderjit.

"Kecuali anda ada bukti beliau (Najib) terima penyata akaun, barulah ia conjecture," balas Harvinderjit.

Selain itu, Harvinderjit turut mendapatkan pengesahan daripada Uma Devi mengenai perbezaan pada tanda tangan Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Suboh Md Yasin.

Perbezaan tersebut “dikesan” pada salinan cetak dan salinan komputer membabitkan surat arahan daripada SRC International Sdn Bhd kepada pihak bank.

Ia berkaitan pemindahan sejumlah RM5 juta ke akaun Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Ihsan Perdana merupakan subsidiari kepada SRC International.

Harvinderjit berkata, terdapat perbezaan pada saiz dan tempat tanda tangan diturunkan.

“Ia berbeza seperti kapur dan keju, bukan?” katanya sambil diakui oleh Uma Devi.

Beliau turut membandingkan tanda tangan dengan beberapa dokumen lain, yang juga menunjukkan perbezaan.

Anggota Parlimen Pekan berusia 66 tahun itu dikenakan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram, dan satu tuduhan salah guna kuasa untuk sogokan melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Prosiding bersambung semula pada Isnin.


BACA: Kes SRC: Keterangan antara saksi bercanggah