Kes penyeludupan masuk senjata api melalui sempadan Kelantan-Thailand terutama melibatkan pengkalan haram di Rantau Panjang serius.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Hassanuddin Hassan berkata sepanjang tempoh awal Januari hingga kini 11 rampasan senjata api dilaporkan.

Dari 11 pucuk pistol yang dirampas dalam tempoh berkenaan, 9 pucuk daripadanya merupakan senjata api jenis automatik manakala dua pucuk lagi jenis pistol angin menggunakan bola besi.

“Pada pandangan saya, ia merupakan satu perkara yang agak serius. Dalam masa tiga bulan, kita dah dapat rampas dan tangkap banyak pistol dan senjata api,” ujar Hassanuddin.

Katanya, kebanyakan rampasan senjata api berkenaan dipercayai dibawa masuk melalui pangkalan haram di Rantau Panjang.

Senjata api yang dirampas itu dipercayai digunakan untuk tujuan sewaan dan kegiatan jenayah termasuk untuk melindungi penjenayah yang terlibat dalam pengedaran dadah di Kelantan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media, untuk mengumumkan rampasan terbaru dua pucuk pistol di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini siang tadi.

Dalam serbuan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) pada jam 5 pagi semalam di sebuah rumah di Jeram Perdah, Rantau Panjang, pihaknya berjaya merampas sepucuk pistol semi automatik jenis Colt berserta lebih 100 biji peluru dan sepucuk pistol angin berserta kelopak peluru dan bebola besi.

Susulan itu pihaknya berjaya menahan dua lelaki berusia 34 dan 52 tahun dengan salah seorang daripadanya merupakan warga negara Thailand.

Selain senjata api, sejumlah dadah pelbagai jenis terdiri dari 2,800 biji pil kuda, 4 liter cecair dipercayai ubat batuk dan daun ketum melibatkan nilai lebih RM32,000 turut ditemui.

Kedua-dua suspek berkenaan di reman selama tujuh hari bermula hari ini.