Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpendapat Barisan Nasional (BN) perlu menjelaskan isu pendakwaan mahkamah melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak kepada rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Rantau.

Ia berikutan isu berkenaan masih relevan dan BN tidak seharusnya mengambil mudah.

“Saya faham timing kes mahkamah ini agak merumitkan kita sedikit di Rantau. Namun kita takkan ambil mudah perkara ini.

"Saya tidak kata benda ini tidak relevan kepada kita sebab ia perlu dijawab dan diberi penerangan kepada rakyat,” katanya kepada media semasa berkempen bersama Calon BN DUN Rantau di Kampung Sawah di sini pada Jumaat.

Justeru beliau berharap BN tidak pandang ringan isu melibatkan bekas perdana menteri daripada BN itu.

“Sebab itu, saya mengambil maklum kes Najib ini. Itupun kita kena beri penjelasan kepada rakyat bahawa ini proses undang-undang dan ia mengambil masa dan mengikut proses ditetapkan.

“Tiada sesiapa didapati bersalah sehingga dijatuhkan hukuman dan sebagainya; selagi mahkamah tak putuskan apa-apa,” tambahnya.