Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Rozana Ali Yusof, hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Mohd Irwan Serigar Abdullah berhubung kes pecah amanah RM6.6 bilion dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan dibuat selepas mendengar permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib.

Bagaimanapun, tarikh bagi pengurusan kes itu akan ditetapkan kemudian.

Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa dua kes yang membabitkan Najib sebelum ini sudah dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, pihak pendakwaan juga tidak mempunyai sebarang bantahan terhadap permohonan mereka.

Beliau juga memaklumkan alasan untuk memindahkan kes itu antara lain adalah untuk mempercepatkan proses keadilan.

Peguam Datuk K Kumaraendran yang mewakili Irwan juga mengguna pakai alasan sama untuk memindahkan kes membabitkan anak guamnya.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Jamil Aripin, tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen menetapkan 18 Disember ini untuk sebutan semula kes yang sama.

Ia bagi membolehkan pihak pembelaan memaklumkan mahkamah berhubung status pemindahan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwaraya, Mohd Farez Rahman.

Pada 25 Oktober lalu, Najib, 65, dan Irwan Serigar, 61, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas enam pertuduhan pecah amanah milik wang kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion.