Polis memberi jaminan kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Nazrin Hassan akan dapat diselesaikan tidak lama lagi.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ketika ini pihak polis sedang melengkapkan siasatan dan percaya ia dapat diselesaikan segera selepas beberapa individu yang mempunyai kaitan dengan mangsa telah dipanggil untuk diambil keterangan.

"Tangkapan bekas isteri dah buat, anak tiri, terbaharu terhadap adik ipar dan suami dia. Kita bagi perakuan akan selesaikan kes ini dalam masa terdekat."

Katanya, beberapa individu telah ditahan reman sebelum ini, namun dibebaskan termasuk adik ipar dan biras mangsa semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai status terkini siasatan berkenaan misteri kematian Nazrin.

Beliau sebelum itu hadir merasmikan Sambutan hari Inovasi PDRM 218 di Universiti Sains Malaysia (USM) pada Khamis.

Pada 4 September lalu, isteri kepada Nazrin dan bekas suaminya ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes tersebut.

Sementara itu, pada 9 September lalu, turut ditahan reman dua anak tiri Nazrin yang berusia 14 dan 16 tahun.

Bagaimanapun, kesemua suspek dibebaskan selepas tamat reman.