Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas berkata pihaknya berkemungkinan akan membuka semula siasatan kes pembunuhan wanita warganegara Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang didakwa ada kaitan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ia ekoran bapa mangsa, Shaariibuu Setev menyuarakan harapannya kepada kerajaan Malaysia untuk mencari keadilan demi anaknya.

Kes berkenaan turut menyaksikan dua anggota polis daripada Unit Tindakan Khas (UTK), Azilah Hadri dan Sirul Azhar disabitkan bersalah atas pembunuhan Altantuya pada tahun 2006.

Dalam satu wawancara bersama agensi berita antarabangsa Bloomberg, Thomas mengatakan adalah tidak masuk akal apabila hanya dua pegawai polis itu didapati bersalah.

Katanya, tanpa motif kukuh oleh kedua-dua tertuduh, kes itu adalah 'tidak lengkap'.

“Tidak masuk akal hanya dua pegawai polis sahaja dipersalahkan. Kita tahu bahawa cerita ini tidak lengkap," katanya dalam wawancara berkenaan yang dibuat pada Jumaat lalu.

BACA: Kes bunuh Altantuya: Teks penuh akuan bersumpah Azilah Hadri

BACA: Teks penuh sumpah laknat Najib Razak

BACA: 'Sumpah haram panah lintar' tak cukup, perlu buka semula siasatan - Mahfuz

Menurut Thomas, kedua-dua anggota polis berkenaan tidak mempunyai motif yang kukuh sementara akuan bersumpah (SD) terbaharu oleh Azilah menunjukkan ada fakta tambahan terhadap sebab pembunuhan.

"Polis perlu melakukan lebih banyak siasatan sebelum kami boleh menelitinya," katanya.

Azilah sebelum ini memohon Mahkamah Persekutuan menyemak semula keputusan bersalah dan hukuman mati terhadapnya dengan membuat satu kenyataan bersumpah mengejutkan.

Azilah mendakwa Najib mengarahkannya untuk menangkap dan menghapuskan mangsa kerana mendakwa Altantuya merupakan pengintip antarabangsa dan membahayakan keselamatan negara.

Najib bagaimanapun menafikan beliau terlibat dalam pembunuhan wanita berkenaan sebelum mengangkat sumpah laknat di Masjid Kampung Baru di ibu negara pada Jumaat lalu.

Dalam pada itu, Shaariibuu tidak berhasrat untuk kedua-dua anggota polis berkenaan dikenakan hukuman mati.

Jelasnya, ia hanya satu kaedah pelik untuk memusnahkan bukti keadilan.

Beliau juga mendesak pihak berkuasa Malaysia membawa pulang seorang daripada suspek pembunuhan anak perempuannya, Sirul yang melarikan diri ke Australia supaya dapat memberi maklumat sebenar di sebalik kes berkenaan.

“Terpulang kepada Malaysia untuk selesaikan kes ini. Ini berkait dengan reputasi dan juga sistem perundangan negara itu,” kata Shaariibuu.

Altantuya meninggal dunia di Malaysia selepas dibawa ke sebuah tempat terpencil di dalam hutan oleh kedua-dua anggota polis berkenaan.

Laporan polis menunjukkan dia ditembak dan kemudian diletupkan menggunakan bahan letupan C-4, yang dipercayai oleh bapanya digunakan untuk menyembunyikan bukti.