Indeks kes kemalangan maut di Kuala Lumpur masih rendah berbanding bandar-bandar utama lain di seluruh dunia, kata Penolong Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Kuala Lumpur, Nordin Harun.

Ia menunjukkan antara sifar hingga satu kematian dicatatkan bagi lebih 10,000 kenderaan berdaftar di ibu kota itu.

"Berdasarkan indeks, lebih 10,000 kenderaan berdaftar di Kuala Lumpur, indeks kemalangan adalah bawah satu (kes).

"Maknanya, kalau dibandingkan di peringkat dunia ni, (indeks) Kuala Lumpur sangat baik. Maknanya daripada 10,000 kenderaan kurang seorang mati," katanya Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia" di Institut Memandu Kuala Lumpur, di sini hari ini.


Tambahnya, angka yang dicatatkan Kuala Lumpur itu menjadi penanda aras kepada usaha mengurangkan indeks kemalangan maut di seluruh Malaysia.

"Jika banding di Malaysia, sekarang indeks negara ialah 2.5, jadi Malaysia nak berusaha kepada usaha nak kurangkan, (indeks itu)" jelas beliau.

Justeru, JKJR akan sentiasa memberi pendidikan kepada pengguna jalan melalui pelbagai program bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pematuhan peraturan lalu lintas.

Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, jumlah kes kemalangan di Kuala Lumpur bagi Januari-Julai tahun ini menurun kepada 36,599 kes berbanding 36,974 kes bagi tempoh sama tahun 2014,

Daripada jumlah itu, 131 kematian dicatatkan, sama seperti tempoh sama tahun lalu.

Penunggang dan pembonceng motosikal terus mencatatkan jumlah kematian tertinggi dengan 85 kes berbanding 79 kes bagi tempoh sama tahun lalu.