Kes demam denggi di Pulau Pinang mencatat penurunan sebanyak 15.64 peratus atau 33 kes bagi tempoh tujuh hari minggu lepas, berbanding minggu sebelumnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan negeri Dr Afif Bahardin berkata sebanyak 178 kes denggi dilaporkan dari 27 Jan hingga 2 Feb, berbanding 211 kes dari 20 Jan hingga 26 Jan.

Beliau berkata walaupun terdapat penurunan kes, secara kumulatif sehingga 2 Feb lepas, sebanyak 1,152 kes denggi dilaporkan berbanding 387 kes bagi tempoh sama pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 765 kes atau 197.67 peratus.

"Sebanyak empat kematian demam denggi dilaporkan sehingga minggu kelima bagi tahun 2019 berbanding tiada kematian demam denggi bagi tempoh yang sama pada tahun 2018," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata terdapat 45 lokaliti wabak terkawal dilaporkan di negeri ini iaitu 12 lokaliti di daerah Timur Laut, Barat Daya (lapan), Seberang Perai Utara (12), Seberang Perai Tengah (12) dan Seberang Perai Selatan (satu).

Dr Afif berkata terdapat sembilan lokaliti wabak tak terkawal iaitu di Jalan Kelantan, Midland Condominium dan Kampung Mutiara di daerah Timur Laut; Taman Impian Indah Zon B, Taman Sireh, Perkampungan Berapit (Zon C), Billion Kota Permai dan Taman Pearl di daerah Seberang Perai Tengah; serta lokaliti Perkampungan Valdor A di daerah Seberang Perai Selatan.

Selain itu, katanya terdapat enam lokaliti hotspot iaitu di Mutiara Idaman dan Medan Tengku Jelutong di daerah Timur Laut serta lokaliti Lebuh Kota Permai, Taman Pauh, Perkampungan Juru-Jalan Juru dan Apartment Permata Zon C di daerah Seberang Perai Tengah.

Beliau menasihatkan orang ramai menjalankan gotong-royong di kawasan perumahan masing-masing bagi menghapuskan tempat-tempat berpotensi pembiakan nyamuk aedes.

Menurutnya, bagi mengurangkan risiko gigitan nyamuk, orang ramai disaran menggunakan 'repellant' atau baju dan seluar panjang semasa menjalankan aktiviti luar, melakukan semburan aerosol di dalam rumah dan memasang skrin pada tingkap.

-- BERNAMA