Jumlah kes denggi di Perak tahun ini mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 67.4 peratus, atau 1,930 kes, di sekitar 12 daerah seluruh negeri berbanding tempoh sama tahun lepas.

Berdasarkan laporan Unit Vektor Jabatan Kesihatan Negeri, sehingga September, terdapat 4,793 kes demam denggi berbanding hanya 2,863 tahun lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Integrasi Nasional, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, peningkatan ketara berlaku di sekitar daerah Kinta yang merekodkan 2,880 kes tahun ini berbanding 1,518 tahun lepas.

Katanya, jumlah tersebut melibatkan sembilan kawasan lokaliti baru, khususnya bertumpu di sekitar kawasan Tasek, melibatkan kawasan perindustrian IGB dan Taman Tasek Jaya.

“Buat masa ini terdapat satu kes wabak di Tasek, di mana terdapat empat laporan kes denggi di Taman Tasek Jaya dan wabak itu telah aktif dalam tempoh 23 hari.

“Selain itu, terdapat wabak yang dilaporkan di kawasan perindustian IGB dan wabak tamat pada semalam (Khamis) dengan sembilan laporan kes secara keseluruhannya,” katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Dr Mah berkata, terdapat 10 kes kematian melibatkan 12 daerah di seluruh negeri Perak di mana empat daripadanya berlaku di daerah Kinta manakala dua lagi di daerah Larut Matang dan Selama.

Tambahnya, daerah Larut Matang dan Selama merekodkan jumlah kes tertinggi iaitu 510 kes pada tahun 2017 berbanding hanya 178 kes pada tempoh Januari hingga September tahun lepas.