Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat laporan polis berhubung pembocoran maklumat dalam kes bekas Exco Negeri Johor yang disiasat awal tahun ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki memberitahu, pihaknya memandang serius pembocoran dokumen kenyataan rakaman percakapan melibatkan kes bekas Exco Negeri Johor, yang disiasat SPRM pada awal tahun ini, di media sosial.

"Ingin dinyatakan, dokumen kenyataan rakaman percakapan salah seorang tertuduh telah diberikan kepada peguambela atas permintaan mengikut undang-undang sedia ada untuk tujuan pembelaan selepas suspek dituduh.

Berhubung satu jadual pembayaran yang dimuat naik di media sosial yang dikaitkan dengan siasatan tersebut, SPRM berpendapat ia telah sengaja diada-adakan untuk mengelirukan masyarakat.

"Memandangkan kes melibatkan bekas Exco Negeri Johor masih dalam perbicaraan, maka SPRM khuatir pembocoran dokumen-dokumen tersebut akan mengganggu prosiding mahkamah," katanya menerusi satu kenyataan media pada Selasa.

Beliau pada masa sama menegaskan, pembocoran kenyataan sedemikian adalah bersifat prejudis memandangkan kes tersebut masih dalam perbicaraan mahkamah.