Sebuah kereta musnah sepenuhnya dalam kebakaran akibat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan lain di Kilometer 18 Jalan Sungai Choh menghala ke Bukit Beruntung pada Ahad.

Kejadian berlaku sekitar pukul 8 malam ketika sebuah kenderaan jenis Proton Gen 2 dinaiki lima sekeluarga tiba-tiba hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

Ia kemudian merempuh tiga kenderaan lain.

Orang awam yang melalui jalan itu sempat mengeluarkan mangsa sebelum kenderaan itu terbakar.

Manakala lima sekeluarga termasuk tiga kanak-kanak yang menaiki kereta jenis Proton Wira cedera parah.

Pemandunya pula tersepit.

Seorang lelaki warga emas yang memandu kereta jenis Proton Viva cedera dan seorang lelaki yang memandu kereta jenis Proton Iswara tidak mengalami kecederaan selepas kereta mereka turut remuk di bahagian hadapan.

Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baru dan Rawang dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa tersepit dan memadamkan kebakaran.

Laluan terbabit turut ditutup sehingga menyebabkan kesesakan selama sejam.

Kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sungai Buloh dan klinik berdekatan.