Seorang lelaki maut selepas tercampak lima meter dari kereta pacuan empat roda dipandunya yang terbabas ke dalam gaung di Kampung Sungai Ular, Kulim pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, mangsa, Wan Syazwi Wan Ahmad Basharuddin, 33, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, sepasukan tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi-Tech bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kemalangan jalan raya kira-kira jam 8.25 pagi.

Menurut beliau, setibanya di lokasi, sebuah kenderaan jenis SUV didapati terbabas ke dalam gaung namun tiada mangsa yang tersepit dalam kereta berkenaan.

Pasukan bomba menemukan mangsa kira-kira lima meter dari lokasi kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, pihaknya menggunakan pengusung untuk mengangkat mangsa ke bahu jalan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.