Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang meneliti cadangan sesetengah pihak yang mencadangkan agar Permit Import (AP) dimansuhkan bagi membolehkan harga barangan diturunkan.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya memerlukan ruang dan masa bagi mengkaji perkara tersebut selain mengambil maklum balas daripada pemain industri.

"Sama ada amalan memansuhkan AP boleh menurunkan harga satu-satu item barangan, itu saya perlukan sedikit masa lagi untuk teliti. Jika ada ruang amalan itu boleh bawa kita turunkan harga, kita akan bergerak ke arah itu," katanya yang juga Anggota Parlimen Kulim-Bandar Baharu ketika ditemui pada majlis penyerahan memorandum bantahan aktiviti pembalakan di Kampung Sungai Tengas, di sini pada Sabtu.

Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) sebelum ini menyuarakan hasrat agar pemansuhan AP dapat dilaksanakan kerana ia diyakini membolehkan harga barang turun berikutan ketika ini terdapat unsur monopoli daripada segelintir pihak yang mendapat hak terbabit.

Mengulas lanjut Saifuddin Nasution berkata pihaknya kini sedang menyenaraikan barangan dan perniagaan di bawah AP yang bersifat monopoli.

Katanya ia adalah sebahagian daripada perancangan bagi memastikan tiada peningkatan harga akibat monopoli AP khususnya membabitkan barangan keperluan asas.

"Di KPDNKK sendiri banyak jenis AP termasuk AP bagi beras, gula, sayuran dan pelbagai lagi dan jika wujud unsur monopoli dan merugikan pengguna, kami tidak teragak-agak untuk melantik pembida baru," katanya. -- Bernama