Kerajaan akan menyelesaikan masalah bekalan elektrik lampu jalan terputus di tanah rancangan milik Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Felcra Berhad dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan menanggung bil berjumlah RM7.076 juta.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran itu akan dilaksanakan melalui KKLW iaitu insentif yang baru diluluskan Kabinet.

Ujarnya, jumlah itu termasuk bil elektrik lampu jalan semasa di Felda dengan pemasangan 5,500 lampu jalan baharu di kawasan berkenaan.

Tambahnya, sebelum ini, kerajaan hanya membayar bil lampu jalan kampung (LJK) bagi kampung tradisional dan kampung Orang Asli sebanyak RM80 juta setahun.

"Bagi Felcra, kita akan menanggung bil keseluruhan LJK sebanyak RM223,847, manakala RM316,980 di Ketengah.

"Saya difahamkan, Felda sebelum ini menanggung sendiri bil elektrik dan sering mengalami masalah bekalan elektrik jika Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan (JKKR) tidak mampu membayar bil.

"Justeru, dengan bantuan kerajaan ini, saya percaya masalah bekalan elektrik LJK di Felda, Felcra dan Ketengah tidak akan berulang lagi," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Anuar Abd Manap (BN-Sekijang) pada yang bertanyakan mengenai jumlah LJK yang akan dipasang di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan tambahan RM100 juta bagi membina LJK yang bakal memberi manfaat kepada 2.5 juta penduduk kampung di seluruh negara.

Najib berkata daripada jumlah itu, kerajaan meluluskan peruntukkan RM50 juta, manakala baki RM50 juta akan disumbangkan Tenaga Nasional Berhad, membabitkan pembinaan 50,000 unit LJK.