Kerajaan sedang mengkaji peruntukan perundangan, terma dan syarat bagi memastikan nasib pekerja ‘gig economy’ terbela seiring revolusi industri 4.0.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kajian tersebut sedang dilaksanakan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Bercakap di Dewan Rakyat, Dr Mahathir berpandangan sistem ekonomi baharu yang memberi manfaat besar kepada golongan muda perlu diteliti dari sudut perlindungan seperti caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“Memang kerajaan amat prihatin terhadap nasib pekerja dalam ‘gig economy’. Bagi pekerja biasa (tetap), sudah ada peraturan bagi simpanan wang dan pencen serta KWSP.

“Namun bagi ‘gig economy’ yang tidak mengikut apa-apa peraturan yang wujud sekarang, kerajaan terpaksa meneliti sama ada kepentingan pekerja terlindung atau tidak.

“Pada masa ini, kita masih menjalankan kajian kerana ini merupakan sistem baharu, melibatkan perhubungan antara pekerja dan majikan ini kerana ini cara baharu mereka bekerja.

“Kita dapati ramai dapat manfaat daripada ‘gig economy’ dan kita perlu kekalkan sistem selain mengadakan peraturan untuk lindungi hak pekerja,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH-Lembah Pantai) yang bertanyakan berkenaan keseimbangan kehidupan pekerja ‘gig economy’.

Menjawab soalan asal daripada Ahmad Fahmi, Dr Mahathir berkata kajian terperinci yang dijalankan oleh KSM memfokuskan takrifan perundangan berhubung terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan dalam industri kategori ‘gig economy’.

“Kita juga melaksanakan regulatory sandbox untuk dikaji oleh semua badan regulatori termasuk Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai langkah memenuhi trend masa hadapan dalam menggalakkan aktiviti berkaitan teknologi baharu.

“Dan juga memberi tumpuan kepada gig economy sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, mampan dan inklusif dalam merangka Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025,” ujarnya.

Beliau pada masa sama akui, Kerajaan menghadapi cabaran dalam penjagaan kebajikan para pekerja yang terlibat dengan ‘gig economy’ berikutan hubungan ‘master and servant’ dan hubungan pekerjaan dengan majikan yang kurang jelas.