Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyangkal kenyataan bekas menteri pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak peka serta mengabaikan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Mohamad yang lebih mesra disapa sebagai Mat Sabu berkata, kebajikan untuk veteran ATM yang dibuat ketika pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) masih diteruskan, malah ada penambahbaikan.

"Kebajikan veteran ATM yang ada pada zamannya (kerajaan BN) diteruskan, bahkan kita tambah baikkan lagi.

"Semua hak dan kebajikan veteran itu termasuk perubatan, bantuan persekolahan, hospital dan bantuan sara hidup, semuanya diteruskan," kata Mat Sabu ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke pasar malam Sungai Koyan di sini pada Rabu.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, juga Setiausaha Agung DAP, dan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil Cameron Highlands, M. Manogaran.

Terdahulu, Hishammuddin berkata, tindakan kerajaan pusat mengabaikan veteran ATM amat dikesali dan ia menunjukkan kerajaan PH tidak peka akan keperluan golongan tersebut.

"Dengan peruntukan untuk veteran ATM yang saya lihat telah pun dikurangkan, saya tidak tengok apa yang boleh kerajaan PH lakukan tahun ini. 


"Dan sekiranya ia berterusan, saya bimbang mereka yang tidak berdosa ini, jadi mangsa.

"Cukup-cukup lah berpolitik, cukup-cukup lah hendak menuding jari kepada kerajaan terdahulu. They are now in power. Lead and govern," kata Hishammuddin semasa beramah mesra di perjumpaan bersama veteran ATM di Felda Sungai Koyan, Jelai.