Setelah 444 hari sejak pertukaran bersejarah kerajaan pada 9 Mei tahun lepas, sudah tiba masanya kerajaan Pakatan Harapan (PH) menilai dan menyemak semula janji Malaysia Baharu dan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) gabungan itu, kata Lim Kit Siang.

Timbalan Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen itu berkata kerajaan PH perlu meyakinkan rakyat, negara berada pada hala tuju tepat untuk membina Malaysia Baharu, dan pada masa sama lima tonggak utama dijanjikan dalam manifesto PRU14 masih lagi menjadi panduan dalam membuat dasar kerajaan.

"Berikan PH ruang untuk berterus-terang dengan rakyat Malaysia dan mengakui, kalau ada, yang sesetengah janji dibuat itu hampir mustahil untuk dilaksanakan, dan saya percaya rakyat Malaysia akan menghargai usaha ini daripada kita cuba untuk menyembunyikannya," kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Simposium Ekonomi Malaysia, bertemakan "Ekonomi Malaysia: Kini dan Masa Hadapan" di Parlimen hari ini.

Lima tonggak utama dalam manifesto PRU 14 itu ialah meringankan beban rakyat; reformasi institusi dan politik; menjana pembangunan mampan dan saksama; pemulihan taraf Sabah dan Sarawak sepertimana diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963; dan mencipta Malaysia Baharu yang inklusif, moderat, dan dipandang tinggi di mata dunia.

Lim, yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, berkata rakyat Malaysia termasuk pemimpin PH haruslah menyedari dan mengakui kekecewaan sejumlah besar penyokong gabungan itu yang merasakan kerajaan PH kini kembali mengikut jejak langkah kerajaan Barisan Nasional yang telah ditumbangkan.

"Saya percaya (pandangan) mereka sebenarnya silap tetapi pada masa sama, kita mestilah boleh menyampaikan mesej dan meyakinkan mereka yang kekecewaan mereka ini satu kesilapan dan kerajaan PH sentiasa komited dalam memperbetulkan hala tuju negara ke arah suatu Malaysia yang baharu," katanya.

Simposium Ekonomi Malaysia 2019 itu dianjurkan bersama Dewan Rakyat, Majlis Ahli-ahli Backbencher (BBC), Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen dan Parlimen Malaysia selaku hos.

Simposium yang pertama kali seumpamnya itu disasarkan agar menjadi acara tahunan sebagai platform libat urus dengan pemegang taruh mengenai hala tuju ekonomi Malaysia dan mengkaji semula prestasi ekonomi negara.

Antara pembentang pada simposium itu ialah Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus; Timbalan Ketua Setiausaha (Makro) Kementerian Hal Ehwal Ekonomi Zakiah Jaafar dan Profesor Ekonomi Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya, Dr Edmund Terence Gomez.

-- BERNAMA