Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) mengalu-alukan cadangan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) supaya vaksin COVID-19 boleh diperoleh tanpa sebarang kos oleh orang awam dan menanti kaedah bagaimana untuk melakukannya.

Presiden MMA Dr N Ganabaskaran dalam satu kenyataan pada Isnin berkata kumpulan kerja Kabinet untuk vaksin COVID-19, MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga perlu mengatasi isu siapa atau golongan berisiko tinggi atau mudah dijangkiti yang mana patut diberikan keutamaan mendapat vaksin.

"Di bawah Pelan Peruntukan Vaksin COVID-19 (COVAX) bergantung kepada kebolehsediaan pembiayaan, negara yang dibiayai akan menerima dos vaksin sehingga 20 peratus daripada penduduk mereka dalam jangka masa panjang.

"Siapa yang akan diambil kira sebagai mudah dijangkiti atau berisiko tinggi perlu ditentukan dan disenaraikan secara teratur terlebih dahulu sebelum pengagihan vaksin dalam kalangan 20 peratus tersebut," kata MMA.

MMA percaya selain daripada mendapatkan pandangan pakar dan kumpulan profesional, orang ramai patut dilibatkan dalam proses membuat keputusan.

-- BERNAMA