Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membubarkan Parlimen susulan kekelahan teruk Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Menurut Ismail, jika kerajaan benar-benar sensitif dan mendengar suara hati dan nurani rakyat, kerajaan tiada pilihan lagi selain daripada membubarkan Parlimen dan menyerahkan kuasa kepada rakyat menentukan masa depan negara.

"Keputusan rakyat Tanjung Piai bukan sahaja menggambarkan perasaan rakyat di Tanjung Piai namun mewakili perasaan rakyat Malaysia keseluruhannya.

"Penolakan rakyat terhadap PH di Tanjung Piai bukan lah yg pertama. Kerajaan telah ditolak berturut-turut sebanyak 3 kali sejak PRK Cameron Highlands diikuti Semenyih dan Rantau.

"Majoriti kekalahan PH meningkat dari 3,000 lebih di Cameron Highlands ke 4,000 lebih di Semenyih dan Rantau sehingga memuncak ke 15,000 lebih di Tanjung Piai.

"Mesej rakyat amat jelas iaitu mereka tidak lagi percaya kepada kerajaan PH untuk menerajui pemerintahan negara ini. Keputusan Tanjung Piai merupakan referendum rakyat yang menolak kerajaan hari ini," ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah beliau, kemenangan Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 15,086 undi dan menyapu bersih kesemua pusat daerah mengundi merupakan manifestasi kepada penolakan rakyat terhadap kerajaan PH yang didominasi oleh DAP.

Jelasnya, kemenangan dengan majoriti besar tersebut adalah diluar jangkaan sama sekali

"Lebih-lebih lagi calon PH adalah dari parti Perdana Menteri iaitu PPBM (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) malah Perdana Menteri sendiri turun ke Tanjung Piai. Malah Tanjung Piai merupakan negeri presiden PPBM.

"Namun semua itu tidak mengubah keputusan rakyat Tanjung Piai yang 65 peratus daripada mereka memberikan isyarat yang jelas melalui kertas undi," katanya.

Beliau menyifatkan rakyat sebenarnya amat kecewa dengan kegagalan kerajaan menunaikan manifesto selain dasar kerajaan yang dilihat gagal selain membebankan hidup rakyat.

"Kejatuhan harga komoditi seperti sawit dan getah tidak mendapat pembelaan yang wajar. Harga sawit dan getah terus rendah namun menteri hanya mengumumkan kempen minum minyak sawit dan tanam buluh.

"Malah yang lebih membimbangkan apabila persatuan industri sawit India berkempen untuk memboikot minyak sawit Malaysia yang pastinya akan beri kesan kepada harga sawit kerana India mengimpot 4.1 juta tan sawit setahun," katanya.