Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi pendirian Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk terus komited memastikan hak-hak bagi Sabah dan Sarawak seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan terpelihara.

Perdana Menteri berkata, di peringkat awal pembentukan Kabinet PN, beliau mewujudkan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri.

"Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 9 September lalu telah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Khas mengenai MA63 yang akan dipengerusikan oleh saya sendiri sebagai Perdana Menteri.

"Majlis Khas ini akan turut dianggotai Ketua Menteri Sarawak, Ketua Menteri Sabah, Menteri-Menteri Persekutuan dan ahli-ahli lain yang akan dilantik mengikut kesesuaian, kelayakan dan bidang kepakaran masing-masing," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Malaysia di Sibu, Sarawak pada Rabu.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, Majlis Khas berkenaan akan membincangkan isu-isu berkaitan hak-hak Sabah dan Sarawak.

Antaranya, jelas beliau, kedudukan kedua-dua negeri itu sebagai Rakan Sekutu, hak negeri di bawah Perkara 112 Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Intergovernmental Committee, keselamatan negeri dan pendidikan.

"Majlis Khas ini akan dibantu oleh jawatankuasa sedia ada yang telah ditubuhkan di peringkat kementerian dan agensi persekutuan berdasarkan isu-isu yang berkaitan.

"Saya berharap agar penubuhan Majlis Khas ini akan dapat merungkaikan beberapa isu yang masih tertangguh berhubung hak dan kedudukan Sabah dan Sarawak selaras dengan semangat MA63 dan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Yang penting ialah usaha-usaha untuk membangun dan memajukan kedua-dua negeri ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan lagi dengan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri," ujarnya.