Kerajaan sedang mengkaji dari aspek teknikal cadangan AirAsia Group Bhd untuk mengembalikan operasinya ke Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata, pandangan kerajaan negeri Sabah juga akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil pendekatan bersikap terbuka terhadap sebarang cadangan daripada pihak-pihak swasta untuk membantu merancakkan ekonomi.

"Pendirian kerajaan PH adalah untuk menyokong industri pelancongan di negeri Sabah. Namun begitu, untuk spesifik cadangan daripada AirAsia mengembalikan operasinya ke Terminal 2, itu perlu diteliti.

"Pandangan daripada kerajaan negeri Sabah juga akan dipertimbang sewajarnya," katanya di Dewan Rakyat hari ini, menjawab soalan Ahmad Hassan (WARISAN-Papar).

Ahmad bertanya pendirian kerajaan berhubung cadangan yang dikemukakan AirAsia untuk memindahkan semula operasinya ke Terminal 2, KKIA dan perancangan syarikat penerbangan tambang rendah itu memulakan penerbangan dari Kota Kinabalu ke India, China, Jepun, Korea dan Australia.

AirAsia telah memberhentikan operasinya di Terminal 2 berkuatkuasa 1 Disember 2015, sekali gus mengakhiri operasi 12 tahun penerbangan itu di sana.

Langkah ke Terminal 1 adalah sejajar dengan arahan yang dibuat Menteri Pengangkutan ketika itu, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Ketika ini, Terminal 2 hanya digunakan untuk penerbangan perkhidmatan umum atau jet peribadi.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berkata syarikat itu merancang memperuntukkan kira-kira RM20 juta untuk membuka semula operasi di Terminal 2 bagi mencapai sasaran lima juta penumpang setahun serta mewujudkan kira-kira 30,000 pekerjaan bagi penduduk tempatan.

BACA: AirAsia yakin kerajaan akan timbang cadangan kembali semula ke terminal 2 KKIA

Loke juga berkata, kemudahan di terminal-terminal KKIA akan dipertingkatkan untuk menampung bilangan penumpang yang semakin meningkat setiap tahun.