Kerajaan akan memberikan bantuan alternatif kepada warga asing yang tinggal di Selangor Mansion dan Malayan Mansion di bawah kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bantuan itu berupa barangan keperluan harian yang akan dijual kepada warga asing di dalam kawasan tersebut.

"Kita (kerajaan) berikan alternatif kepada rakyat mereka (warga asing) yang tinggal di dua bangunan ini iaitu supaya mereka boleh melalui pusat operasi diwujudkan.

"Ini akan membantu mereka membuat pembelian makananan, tetapi mereka perlu bayar sendiri setiap keperluan yang mereka perlukan, kita boleh bantu dari segi apa yang diperlukan oleh mereka," katanya.

BACA: 24.62 juta topeng muka dalam proses pengagihan kepada rakyat - Ismail Sabri

BACA: PKP: Kedutaan asing perlu bantu warga di Malaysia

Jelasnya, 97 peratus daripada penghuni dua bangunan itu merupakan warga asing. Bagaimanapun kebajikan mereka adalah di bawah tanggungjawab kedutaan mereka sendiri.

"Ramai bertanya isu sumbangan makanan kepada mereka, untuk makluman semua 97 peratus penghuni adalah warga asing. Saya dah umumkan secara jelas bebeapa hari lepas bahawa warga asing yang berada di negara kita di bawah tanggungjawab kedutaan asing.

"Kementerian Luar telah memaklumkan kepada kedutaan mereka untuk mengambil tanggungjawab kebajikan rakyat mereka," kata Ismail.

PKPD di dua bangunan itu dikuatkuasakan sejak Selasa selepas 15 kes positif jangkitan COVID-19 dilaporkan di situ.