Mesyuarat Majlis Pelaksanaan (ICM) Koridor Raya Multimedia (MSC) Malaysia Ke-30 pada Rabu mencadangkan penubuhan Majlis Keterangkuman Digital Kebangsaan bagi mewujudkan peluang pendapatan kepada rakyat Malaysia dalam ekonomi digital.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata cadangan tersebut akan dibawa ke Kabinet bagi mendapatkan persetujuan.

Dr Mahathir berkata majlis tersebut yang akan dipengerusikannya bakal dianggotai lebih 11 kementerian dalam kabinet dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) selaku sekretariat.

“Jika dilaksanakan dengan baik, pertumbuhan ekonomi digital akan memberikan manfaat kepada rakyat Malaysia menerusi peluang daripada Revolusi Industri 4.0.

“Bagi mencapai matlamat ini, kami akan menubuhkan Majlis Keterangkuman Digital Kebangsaan yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dianggotai 11 kementerian serta MSC sebagai sekretariat.

“Ia bagi memberi tumpuan dalam mencipta peluang pendapatan dalam ekonomi digital,” kata Dr Mahathir selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia Ke-30 di Perdana Putra pada Rabu.

Beliau berkata inisiatif tersebut sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerana menggunakan teknologi digital untuk meningkatan tahap sosial dan ekonomi rakyat Malaysia.

Antara kementerian yang akan menganggotai majlis tersebut ialah Kementerian Hal Ehwal Ekonomi, Kewangan, Komunikasi dan Multimedia, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembangunan Luar Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ia turut disertai Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Belia dan Sukan, Sumber Manusia, Pengangkutan dan Wilayah Persekutuan.

Sementara itu, beliau juga berkata, sejak ditubuhkan pada 1996, MSC telah mewujudkan 183,000 pekerjaan bernilai tinggi di hampir 3,000 syarikat dengan jumlah pendapatan hampir RM500 bilion.

Beliau turut meluahkan rasa bangga kerana syarikat teknologi tempatan kini diiktiraf sebagai pemain global dan sebagai contoh, Aerodyne, yang khusus dalam teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), menduduki tempat ketiga di dunia.

“Tiga syarikat juga disenaraikan dalam di Forbes Asia’s 200 Best Under A Billion 2019.

“Pemaju kandungan kreatif juga memainkan peranan penting dalam dunia animasi dan permainian. Beberapa animasi yang diiktiraf di peringkat antarabangsa termasuk Boboiboy, Upin & Ipin, No Straight Roads, CryptantCrab dan Re:Legend.

“Ia sudah tentu merupakan kelebihan dalam menarik dan mengamalkan teknologi baharu, mengembangkan bakat teknologi dan memudahkan keterangkuman digital bagi memastikan kemakmuran bersama,” katanya.