Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bersetuju menerima pakai cadangan Kementerian Pengangkutan supaya Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) menguatkuasakan pelesenan terminal pengangkutan awam darat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu, beliau berkata, majlis tersebut juga menerima cadangan untuk mengawalselia caj atau fi yang dikenakan berdasarkan kualiti perkhidmatan dan kemudahan yang disediakan pengendali terminal terbabit.

“Pelaksanaan cadangan ini juga perlu mengambilkira kepentingan pengguna supaya mereka tidak dibebankan,” katanya kepada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di sini hari ini.

Dalam sidang media itu, Dr Wan Azizah berkata, majlis tersebut turut menerima cadangan penambahbaikan bagi mengembangkan program ikan sejuk beku atau QFish ke seluruh negara.

“Program ini menggunapakai teknologi pembekuan ikan secara individu bagi menjalin kualiti dan kesegaran ikan. Harga jualan adalah sekitar RM10 sekilogram bagi ikan kembung, selar, pelaling dan selayang.

“Program QFish ini menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran kapasiti ikan daripada 561 tan metrik kepada 3,500 tan metrik setahun,” katanya lagi.

Selain itu, NACCOL turut meneliti pelaksanaan inisiatif Program Barang Asas 100 (BA100) yang dijangka boleh mengurangkan harga barangan, mengurangkan peranan orang tengah dan mengeluarkan sendiri barangan keperluan asas.