Keputusan untuk mengklasifikasi semula kes Teoh Beng Hock sebagai salah sekatan dan bukan membunuh tanpa niat adalah satu prosedur pentadbiran dan tidak dalam apa tujuan untuk mengelak penyiasat daripada mencari kebenaran atau siapa yang terbabit di atas kematiannya, kata Peguam Negara, Tommy Thomas.

"Keputusan ini perlu kerana meskipun banyak penelitian dijalankan oleh pegawai di Jabatan Peguam Negara (JPN), yang terbaru pada Mac 2019, kutipan bukti daripada hasil siasatan terhadap kemungkinan pembunuhan susulan dapatan Mahkamah Rayuan, bukti yang ada sekarang ini tidak cukup untuk mengajukan satu tuduhan di bawah Seksyen 304 atau 304A Kanun Keseksaan," katanya.

Thomas berkata demikian dalam sepucuk surat bertarikh 8 Julai kepada peguam keluarga Teoh, Ramkarpal Singh, yang diedar kepada media di lobi Parlimen di sini, pada Rabu.

Beliau menambah bahawa siasatan bagi salah sekatan di bawah Seksyen 342 juga konsisten dengan dapatan fakta oleh Mahkamah Rayuan yang Teoh tidak bebas untuk meninggalkan bangunan SPRM walaupun dia tidak pernah diletakkan di bawah tangkapan.

"Tolong pastikan jika terdapat bukti mencukupi dibongkar oleh polis, pihak pendakwaraya awam tidak dilindungi dengan alasan daripada klasifikasi pentadbiran seumpama daripada membawa satu pertuduhan atas membunuh tanpa niat, atau sebarang pertuduhan bersesuaian yang lain bagi membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," menurut Thomas.

Pada 6 Julai, 2009, Teoh dijumpai mati di tingkat lima Plaza Masalam, Shah Alam, selepas dia pergi ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan yang sama di mana dia telah disoal siasat.

Ketika itu Teoh ialah setiausaha politik kepada pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pembangunan Kampung Baru dan Pengerusi Jawatankuasa Mensahkan Kilang, Ean Yong Hian Wah, yang juga ADUN Seri Kembangan.

-- BERNAMA