Keputusan untuk meneruskan atau memberhentikan sebarang pertuduhan terhadap seseorang terletak di atas budi bicara Peguam Negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong.

Beliau berkata kuasa tersebut diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Peguam Negara boleh memberhentikan sebarang pertuduhan walaupun dalam prosiding di mahkamah.

"Itu adalah hak dan kuasa Peguam Negara untuk membuat keputusan. Kerajaan tidak mencampuri keputusan dibuat oleh Peguam Negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

BACA: Kepulangan Siti Aisyah disambut dengan air mata

Beliau mengulas permintaan kerajaan Vietnam yang mahu Malaysia membebaskan rakyatnya Doan Thi Huong, wanita yang dituduh membunuh abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam.

Doan, 30, dan warga Indonesia Siti Aisyah, bersama empat lagi yang masih bebas didakwa membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pukul 9 pagi, 13 Feb 2017.


Bagaimanapunm pada Isnin lepas, Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas tanpa membebaskan Siti Aisyah selepas dua tahun ditahan. Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan

-- BERNAMA