Sesungguhnya tidak ada pangkat, darjat dan latar belakang parti politik yang dapat menghalang takdir Allah berkaitan kehidupan dan kematian.

Demikian kata balu kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia Allahyarham Dr Shaharuddin Badaruddin, Adibah Ahmad.

Ia susulan kenyataan Ketua UMNO Bahagian Puchong, Datuk Mohamed Satim Diman yang mendakwa kematian wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) di Selangor adalah amaran daripada Allah supaya rakyat memilih parti yang tepat.

Disebabkan kenyataan yang disifatkan sebagai biadap itu, Adibah bersama tiga lagi keluarga bekas ADUN di Selangor menggesa Satim memohon maaf.

“Saya bagi pihak keluarga saya dan mewakili keluarga lain yang hadir hari ini (Khamis) mohon agar pihak yang mengeluarkan kenyataan berkait kematian suami dan bapa tercinta kami agar menarik balik kenyataan yang telah mengguris hati kami sekeluarga, semua rakan taulan dan kenalan arwah,” katanya dalam sidang media di Pejabat Ahli Majlis Perbandaran Kajang Zon 20 di sini pada Khamis.

Tiga lagi keluarga yang dimaksudkan Adibah adalah ahli keluarga bekas ADUN Semenyih Bakhtiar Mohd Nor, bekas ADUN Balakong Eddie Ng dan bekas ADUN Sungai Kandis Mat Shuhaimi Shafiei.

Apabila ditanya sekiranya keluarga bekas empat ADUN itu akan mengambil tindakan undang-undang, Adibah berkata pihaknya memberi masa dua hari untuk Satim memohon maaf dan akan mengeluarkan kenyataan lain selepas tamat tempoh dua hari itu.

“Kami merasa marah, geram, sedih dan pasti kita rasa terkilan dalam saat-saat yang kita rasakan kehilangan ini.

“Kami terkejut dan kami harap sebagai orang yang meletakkan dirinya sebagai pemimpin sepatutnya tidak boleh cakap begini.

“Saya berdoa supaya Allah berikan keinsafan kepada yang berkenaan untuk berfikir kerana dia pun ada keluarga. Jadi, cubalah rasai perasaan kami,” tambah Adibah.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Muhammad Aiman Zainali (PH), Zakaria Hanafi (Barisan Nasional), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas Kuan Chee Heng.

Pengundian DUN Semenyih akan diadakan Sabtu ini. Kerusi Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.