Seorang tukang rumah mengaku bersalah di Mahkamah Seksyen Alor Setar hari ini kerana menghina Polis Diraja Malaysia (PDRM) di laman sosial pada 19 Mac lalu.

Tertuduh Mohd Naim Md Isa, 49, mengaku memuat naik video di aplikasi Whatsapp dengan mengeluarkan kata-kata jelik dengan niat mempersendakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa susulan penularan wabak COVID-19.

Tertuduh berhadapan tuduhan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1988 (Akta 588) dengan niat menginaya orang lain.

Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan prosiding menjatuhkan hukuman kepada 11 Mei ini bagi mendapatkan laporan penuh forensik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan fakta kes.

Justeru, mahkamah membenarkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu keputusan hukuman berkenaan.

BACA: Kenduri kepala kambing: perakam video, penganjur akan dikenakan tindakan

Mengikut pertuduhan, tertuduh melakukan kesalahan pada jam 2 petang dengan merakam video berdurasi 57 saat dan tular yang mempertikaikan Perintah Kawalan Pergerakan ketika menikmati kenduri termasuk makan “kepala kambing” di sebuah kampung Telaga Mas di Langgar, Kedah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali selain boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zabidah Ahmad.

Tertuduh sebelum itu ditahan bersama seorang lelaki yang dipercayai penganjur majlis kenduri ditahan di rumah mereka di Langgar, Alor Setar kira-kira ‪jam 5.15‬ ‪20 Mac‬.

Bagaimanapun setelah soal siasat serta keterangan direkodkan penganjur majlis kenduri berusia 60 tahun dibebaskan dengan jaminan polis.