Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mempersoalkan mengapa Wall Street Journal (WSJ) membenarkan ianya terus diperkudakan untuk kempen anti-Najib.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, katanya kempen yang bermotifkan politik itu tidak akan berjaya kerana ia telah pun gagal tahun lalu.

"Walaupun berkali-kali telah dibuktikan salah, Wall Street Journal masih terus membenarkan dirinya digunakan sebagai kenderaan untuk kempen Anti-Najib," kata Abdul Rahman yang juga Pengarah Strategik Komunikasi Barisan Nasional (BN).

Katanya, WSJ telah mendakwa terdapat beberapa pegawai Arab Saudi yang mengatakan bahawa menteri kewangan dan menteri luarnya tidak tahu menahu tentang kemasukan dana ke akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Namun, kata Abdul Rahman, WSJ gagal menamakan siapa pegawai-pegawai yang dimaksudkan itu.

Katanya, Menteri Luar Saudi sendiri telah secara umum mengesahkan bahawa dana tersebut telah dihantar kepada Najib dari Arab Saudi, yang mana telah disahkan juga oleh Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali selepas siasatan terperinci.

"Siapa kita nak percaya? Menteri Luar Saudi atau pegawai-pegawai yang tidak dinamakan itu, seperti hampir kesemua sumber yang dipetik Wall Street Journal, iaitu tidak dinamakan dan tidak diketahui.

"Ini bercanggah dengan semua peraturan kewartawanan yang terkandung dalam buku. Bagaimana kita nak tahu mereka ini benar-benar wujud?" soal beliau.

Namun, Abdul Rahman berkata WSJ berkemungkinan akan terus membuat dakwaan palsu, tetapi beliau yakin pembohongan itu tetap tidak akan terselindung.

1Malaysia Development Bhd (1MDB) hari ini mengulangi bahawa ia tidak membayar apa-apa dana kepada akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut kenyataan 1MDB di sini hari ini, berbeza dengan dakwaan Wall Street Journal (WSJ) yang tidak berasas dan tidak terbukti, 1MDB secara konsisten kekal bahawa ia tidak membayar apa-apa dana kepada akaun peribadi perdana menteri.