Beberapa kawasan panas atau hotspot di beberapa buah negeri telah dikenal pasti dan perlu diberi lebih perhatian sepanjang proses Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti, jelas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, kawasan panas tersebut dikenal pasti berasaskan laporan risikan yang diterima termasuk berdasarkan pengalaman pada pilhan raya umum yang lalu.

Justeru, beliau berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan panas itu bagi memastikan PRU14 berlangsung dalam keadaan selamat dan bersih.

"Ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan proses PRU kali ini berlangsung dalam keadaan paling selamat dan aman tanpa wujud sebarang isu berkaitan keselamatan negara.

"Kita tidak akan menumpukan kepada negeri-negeri tertentu. Saya percaya jika dibendung dari awal, tidak akan ada negeri yang bermasalah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada majlis pertemuan bersama anggota PDRM di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang pada Sabtu.

Katanya, beliau tidak mahu timbul sebarang kekacauan mahupun perselisihan sehingga wujud ketidaktenteraman biarpun kawasan-kawasan tersebut dikenal pasti sebagai lokasi panas.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa memberi kerjasama yang baik terhadap pasukan keselamatan dengan tidak melakukan sebarang provokasi .

"Kita mahu semua pihak menghormati tugas polis. Kita akan gunakan semua pasukan yang ada untuk mengelakkan kejadian tidak diingini dan keutamaan PDRM adalah rakyat," tambahnya.