Kementerian Sumber Manusia (KSM) bersedia membantu dan bekerjasama dengan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), dalam menyelesaikan kemelut mereka dengan pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM).

KSM dalam kenyataannya hari ini berkata, kementerian tersebut memandang serius isu penggantungan MTUC oleh JPPM baru-baru ini.

"KSM sebagai peneraju utama dalam urusan sumber manusia, sentiasa membuka pintu dan mengalu-alukan sebarang bantuan kepada MTUC, sekiranya diminta bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berkaitan isu ini bersama JPPM atau KDN," menurut kenyataan itu lagi.

Kenyataan itu turut menyebut, MTUC dikatakan mewakili setengah juta pekerja di Malaysia, dan ini menjadi kebimbangan yang besar apabila perkara ini berlaku.

Jelas KSM, MTUC merupakan badan payung utama bagi kesatuan sekerja di Malaysia dan mempunyai peranan utama dalam sejarah kesatuan sekerja yang menjaga hak dan kebajikan pekerja-pekerja, sebagai pembela nasib pekerja di Malaysia.

BACA: JPPM keluar notis Kenyataan Sebelum Pendaftaran Dibatalkan terhadap MTUC

Sebarang keputusan penggantungan MTUC yang berpanjangan, akan memberi kesan kepada pekerja yang bergantung kepada badan ini dalam banyak perkara, berkaitan hak dan kebajikan mereka, katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan JPPM memberi tempoh 30 hari bermula daripada tarikh notis dikeluarkan kepada MTUC, untuk memberi jawapan balas mengapa ia tidak patut dibatalkan.

JPPM dalam kenyataan Jumaat berkata notis itu dikeluarkan 18 Dis lepas di bawah Seksyen 13 (2) iaitu Kenyataan Sebelum Pendaftaran Dibatalkan.

PJPPM juga dalam masa yang sama telah mengeluarkan Notis 13 (2A) iaitu Perintah Penggantungan ke atas MTUC, bagi menjaga kepentingan pertubuhan daripada terus melanggar mana-mana aturan pertubuhannya.

Menurut JPPM, pihaknya telah menerima aduan pada 2 Julai lepas, berkenaan pengurusan pertubuhan MTUC yang tidak diuruskan dengan baik.

"Sehubungan dengan itu, JPPM telah membuka Kertas Siasatan Aduan pada 29 Ogos dan seterusnya menjalankan siasatan seperti yang ditetapkan di bawah Akta Pertubuhan 1966," kata kenyataan itu.

-- BERNAMA