Kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu (BM) di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) adalah bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kelonggaran itu merangkumi graduan perubatan yang telah menjalani persekolahan di luar negara, mereka yang menduduki peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa atau Bahasa Melayu di universiti, dan beberapa kategori lain.

"Kelonggaran ini bukanlah suatu perkara baharu, malahan lantikan kontrak bagi Pegawai Perubatan dan Pakar Perubatan bukan warganegara juga tidak memerlukan kelulusan BM di peringkat SPM," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata Akta Perubatan 1971 telah memperuntukkan di bawah Seksyen 13 (2) bahawa seseorang graduan perubatan yang diberi Pendaftaran Sementara oleh Majlis Perubatan Malaysia wajib menjalani dan melengkapkan latihan siswazah dengan kompeten sebelum boleh diberi Pendaftaran Penuh sebagai seorang Pegawai Perubatan yang bertauliah.

Katanya Seksyen 40 Akta yang sama turut menetapkan bahawa Pegawai Perubatan perlu juga menjalani khidmat wajib di dalam sektor awam setelah diberi Pendaftaran Penuh.

"Susulan pengumuman Bajet 2017 pada Oktober 2016, graduan perubatan kini adalah dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41 untuk menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib selama dua tahun.

"Sekiranya seorang graduan perubatan tidak dapat menjalani latihan siswazah dan khidmat wajib, graduan perubatan tersebut tidak dibenarkan sama sekali untuk mengamal sebagai seorang Doktor Perubatan di Malaysia. KKM prihatin bahawa ini tentu akan menjejaskan masa depan mereka setelah berusaha sedaya upaya menjalani jurusan Perubatan di universiti," katanya.

Oleh itu, kelonggaran syarat kelayakan Lulus BM di peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 ini akan membantu melancarkan lantikan kontrak bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Beliau berkata demikian sebagai respon terhadap maklum balas beberapa pihak mengenai kenyataan KKM sebelum ini berkenaan keputusan kementerian melonggarkan syarat kelayakan Lulus BM di peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41.

Antara maklumbalas yang diutarakan ialah kekhuatiran bahawa bahasa kebangsaan kian dipandang remeh dan bakal menimbulkan masalah komunikasi antara pagawai perubatan dan pesakit kelak.

Katanya sebelum ini, kelonggaran juga pernah diberi bagi lantikan tetap Pegawai Perubatan ke perkhidmatan awam, memandangkan pada masa tersebut terdapat kekurangan yang akut bagi bilangan Pegawai Perubatan untuk menampung keperluan perkhidmatan yang kritikal.

Namun katanya, sejak awal tahun ini kelonggaran tersebut telah diketatkan semula bagi lantikan secara tetap sebagai Pegawai Perubatan di KKM dan calon perlulah Lulus BM di peringkat SPM.

"Justeru, katanya keputusan itu adalah selaras dengan kedudukan BM sebagai bahasa Kebangsaan dan memartabatkan bahasa rasmi Persekutuan ini seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32)," katanya.

-- BERNAMA