Terdapat risiko berlaku kesilapan diagnosis dan rawatan sekiranya doktor tidak boleh memahami apa yang cuba disampaikan oleh pesakit,

Menurut Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia Shahril Hamdan merujuk kepada keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang melonggarkan syarat wajib lulus Bahasa Melayu untuk lantikan kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41.

Beliau juga mempersoalkan kemampuan doktor untuk beri rawatan yang berkesan kepada pesakit yang tidak menguasai Bahasa lain selain Bahasa Melayu.

“Bagaimanakah seorang doktor boleh memberi rawatan yang berkesan kepada pesakit sekiranya terdapat masalah komunikasi di mana pesakit tidak mempunyai penguasaan yang baik di dalam bahasa selain daripada Bahasa Melayu? Terdapat juga risiko berlaku kesilapan diagnosis dan rawatan sekiranya doktor tidak boleh memahami apa yang cuba disampaikan oleh pesakit,” jelasnya dalam satu kenyataan di sini baru-baru ini.

Dalam kenyataan itu, Shahril turut mempersoalkan tindakan Kementerian Kesihatan melonggarkan syarat berkenaan.

“Sewajarnya keputusan yang melibatkan kepentingan awam ini dijelaskan rasionalnya kerana kedudukan Bahasa Melayu di Malaysia sudah termaktub di dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta 32 Bahasa Kebangsaan 1963/67. Kelonggaran demi kelonggaran yang diberikan hanya akan memberi gambaran bahawa Bahasa Melayu boleh dipandang enteng oleh rakyat Malaysia.”

BACA: Kelonggaran syarat lulus BM peringkat SPM mudahkan lantikan pegawai perubatan kontrak gred UD41

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam mengumumkan persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk kelonggaran syarat kelayakan Lulus Bahasa Melayu (BM) peringkat SPM untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41.

“Sehubungan dengan itu, semua graduan perubatan yang berkelayakan untuk dilantik secara kontrak sebagai Pegawai Perubatan UD41 untuk menjalani latihan siswazah selama dua tahun dan khidmat wajib selama dua tahun adalah diberi kelonggaran kepada syarat Lulus BM ini,” jelas Noor Hisham.