Penubuhan Kelab UNESCO adalah untuk melahirkan pemimpin dalam kalangan murid, meningkatkan kemahiran merancang dan melaksanakan program.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malek berkata, ia sekali gus membentuk modal insan yang peka terhadap isu semasa di peringkat komuniti setempat kebangsaan dan antarabangsa.

"Hari ini merupakan hari bersejarah kepada negara kita kerana kita lancar Kelab UNESCO.

"Ini usaha menjadikan sekolah di negara ini setaraf negara maju, memberikan pendedahan kepada anak-anak kita terhadap isu-isu global, isu berkaitan keamanan, isu berkaitan pembangunan mapan dan sekali gus mencungkil bakat- bakat kepimpinan di kalangan anak-anak kita.

"Kita harapkan supaya banyak lagi sekolah-sekolah lain dapat menubuhkan Kelab UNESCO dan juga model United Nation (UN) kerana ini memberi peluang kepada kita mempersiapkan pemimpin masa depan di negara kita ini," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Kelab UNESCO dan Model United Nations (MUN) di sini, pada Jumaat.

Sehingga kini, sebanyak 20 buah sekolah menengah serta 22 buah institusi pengajian tinggi awam termasuk politeknik dan kolej komuniti yang telah menubuhkan Kelab UNESCO.

Pelancaran ini juga bertujuan menggalakkan sekolah-sekolah menengah di Malaysia serta institusi pengajian tinggi untuk mengambil bahagian atau menganjurkan Model United Nations (MUN).

MUN merupakan aktiviti simulasi bagi mesyuarat di peringkat United Nations (UN) seperti UN General Conference atau UN Security Council.

Pelajar-pelajar berpeluang untuk menjalankan peranan sebagai duta dan wakil kepada pelbagai negara dan melakukan aktiviti seperti bermesyuarat, berdebat, dan membincangkan atau menulis resolusi.

MUN merupakan aktiviti yang dilihat mampu untuk meningkatkan keupayaan golongan muda bukan sahaja dalam konteks pengetahuan dasar luar negeri, bahkan mampu meningkatkan kemahiran insaniah serta dapat mengantarabangsakan pemikiran golongan berkenaan.

Usaha untuk menggalakkan penubuhan Kelab UNESCO dan pelaksanaan MUN di semua sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi juga boleh dilihat sebagai memperkukuhkan lagi komitmen sedia ada Negara terhadap membantu mencapai inisiatif UNESCO di peringkat antarabangsa.

Ia selaras hasrat Malaysia untuk bertanding semula mengekalkan Kerusi Lembaga Eksekutif UNESCO bagi penggal 2019-2023.