Bagi membantu mangsa keganasan rumah tangga, Wanita MCA melalui Pusat Bantuan Wanita dan Penasihat Undang-Undang menyediakan perkhidmatan konsultasi guaman secara percuma.

Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie berkata kes keganasan rumah tangga menunjukkan trend membimbangkan dengan peningkatan ketara dalam jumlah kes, terutama sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lepas.

Beliau berkata berdasarkan laman web Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), 81 kes keganasan rumah tangga dilaporkan dalam tempoh 18 hingga 31 Mac, 337 kes (1 hingga 30 April), 420 kes (1 hingga 31 Mei) dan 92 kes (setakat 1 hingga 9 Jun).

"Bantuan guaman yang disediakan ini merangkumi perundangan sivil dan syariah. Ia disediakan kepada semua tanpa mengira bangsa, agama ataupun fahaman politik," katanya pada sidang media majlis pelancaran kempen 'Say No To Domestic Violence' anjuran Wanita MCA di sini, hari ini.

Katanya, pusat bantuan itu juga akan membantu mangsa memohon Perintah Perlindungan Kecemasan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Perintah Perlindungan Interim daripada mahkamah selain menyediakan tempat perlindungan kepada mangsa.

Sehubungan itu, Heng menyeru mangsa atau saksi kes keganasan rumah tangga untuk menghubungi pusat bantuan berkenaan di talian 03-22033884 atau 012-3863884 yang beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat mulai 8.45 pagi hingga 5.30 petang atau Talian Kasih 15999 yang disediakan KPWKM.

Beliau berkata pusat bantuan itu turut menyediakan khidmat kaunseling keluarga atau perkahwinan dan menyalurkan bantuan kebajikan sosial.

Mengulas lanjut mengenai kempen 'Say No To Domestic Violence', Heng berkata objektif dan fokusnya adalah untuk membantu memberi kesedaran kepada setiap mangsa mengenai hak-hak mereka dalam perundangan serta memberi nasihat alternatif kepada mangsa untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Pusat bantuan berkenaan merupakan pusat sehenti yang ditubuhkan pada 16 Dis 2014 dengan kerjasama beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) antaranya KPWKM, JKM dan Majlis Peguam bagi membela nasib golongan wanita.

-- BERNAMA