Kerajaan negeri Kedah hari ini mengumumkan pemberian khas berjumlah RM2,000 kepada penjawat awam negeri membabitkan peruntukan berjumlah RM14 juta.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pembayaran akan dibuat sebanyak dua kali iaitu RM1,000 pada Disember ini, dan bayaran kali kedua menjelang Hari Raya Aidilfitri tahun depan.

Katanya pemberian khas itu bagi menghargai usaha dan tugas kira-kira 6,000 penjawat awam negeri yang selama ini berperanan selaku 'jantung' pentadbiran kerajaan dan sentiasa menerapkan sikap wala' dan berintegriti.

"Gabungan idea, curahan tenaga mereka, serta dedikasi dalam memastikan perancangan pembangunan diupaya banyak membantu pimpinan negeri untuk berterusan merangka agenda pembangunan rakyat," katanya ketika membentangkan Bajet 2018 pada Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Ahmad Bashah turut mengumumkan bahawa mulai Januari tahun depan, kerajaan negeri akan membayar sepenuhnya bil air bagi pengguna domestik yang mempunyai penggunaan 20 meter kiub ke bawah, bertujuan menggalakkan penjimatan penggunaan air bersih terawat dan meningkatkan kapasiti margin rizab di kolam takungan.

"Pemberian ini memberi manfaat kepada 221,000 akaun pengguna, dengan kos tanggungan kerajaan negeri untuk dibayar kepada Syarikat Air Darul Aman Berhad (SADA) secara puratanya berjumlah RM1.5 juta sebulan atau RM18 juta setahun," katanya.

Menteri besar berkata, di bawah agenda peduli rakyat, beberapa insentif dan bantuan turut digariskan antaranya bantuan am bagi penerima Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 yang melibatkan 4,000 penerima dengan biaya keseluruhan RM 2.5 juta.

"Kedua, bantuan segera bagi mangsa bencana seperti banjir dan bencana alam dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 bagi mangsa yang berdaftar dan berpindah ke pusat pemindahan.

"Ketiga, Dana Warisan Pendidikan Anak Kedah, seramai 30,000 pelajar Tahun 1 yang memasuki alam persekolahan bagi sesi 2018 di semua sekolah rendah negeri ini diberikan RM100 setiap seorang dalam bentuk simpanan di Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) ," katanya.

Ahmad Bashah berkata insentif guru kampung dan guru Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) turut akan dinaikkan kepada RM600 seorang berbanding sebelum ini hanya RM450.

-- BERNAMA