Sistem Tafsiran Cukai di seluruh kawasan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan disemak semula setelah ia tidak dikemas kini sejak tahun 1993.

Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata proses tafsiran cukai akan dibuat tidak lama lagi dan perlaksanaan dicadangkan pada 2021 nanti.

Pada tahun 2019 cukai yang dikutip di kawasan MBAS ialah RM40 juta.

Beliau berkata, tafsiran itu terpaksa dibuat memandang pertambahan jumlah penduduk di samping pertambahan perkhidmatan yang cuba dilaksanakan.

Beliau berharap tafsiran baharu itu tidak membebabkan rakyat keseluruhannya dan ia dapat menampung kebanyakan warga di bandar raya itu.

"Tentulah kita ambil kira semua faktor.. dari segi apa yang kita nak sampaikan kepada rakyat. Kita juga ambil kira kemampuan. Kita tidak mahu membebankan rakyat dengan cukai-cukai tambahan dan sebagainya.

"Kita nak yang munasabah sahaja. Kita cuba tidak meletakkan bebanan terlampau tinggi atas bahu rakyat dan pada masa yang sama perkhidmatan kepada rakyat dipertingkat," ujar beliau.

Beliau berkata selepas majlis angkat sumpah Ahli Majlis Bandaraya Alor Setar.

Pada masa yang sama beliau mengingatkan Ahli-ahli Majlis berintegriti serta bebas rasuah dan perlakuan jenayah.

Malah Mukhriz turut mengingatkan semua Ahli Majlis bertegas dan berkerjasama dengan Jabatan Kesihatan untuk memastikan penguatkuasaan terhadap premis makanan bebas dari rokok.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan mana mana Ahli Majlis yang ditangkap dan di kompaun merokok di tempat awam akan dibuang serta-merta.