Gara-gara kecewa teman wanitanya curang dengan lelaki lain, seorang lelaki cuba membunuh diri dengan mengelar tangannya menggunakan pisau cukur di tepi Pantai Tanjung Aru, Kota Kinabalu, pagi ini.

Bagaimanapun, niat lelaki terbabit untuk membunuh diri tidak berjaya apabila sepasukan polis yang berada di lokasi kejadian mengambil masa 10 minit untuk memujuk mangsa kira-kira jam 8 pagi.

Lelaki berusia 20-an yang cedera di tangan kirinya kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, lelaki itu dikatakan menghubungi kekasihnya namun gagal dan mendapati wanita itu bersama lelaki lain lalu pergi ke tepi pantai dan minum minuman keras.

Dia kemudian dipercayai mengelar tangan kirinya menggunakan pisau cukur sebelum sepasukan polis yang sedang membuat rondaan di kawasan itu melihat kejadian dan berjaya memujuknya.

Selepas hampir 10 minit, dia kemudian memberhentikan perbuatannya lalu anggota polis bersama kakitangan paramedik Hospital Queen Elizabeth (HQE) membuat rawatan awal sebelum membawanya ke HQE.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.